Sinar Harian 21 April 2010
BUKIT BERUANG - Gara-gara sarang burung yang disambar petir, bumbung Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Bukit Beruang, di sini terbakar kira-kira jam 3.30 petang semalam.
Bumbung bahagian tepi bangunan yang terbakar itu disambar petir dalam hujan lebat berada berhampiran tangga tingkat dua bersebelahan bilik agama sekolah berkenaan.
Menurut Guru Besar, Chin Kon Sang, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, bagaimanapun kebakaran kecil itu menyebabkan kerosakan pada bumbung, siling dan bilik agama.
“Ketika kejadian tiada murid di bilik agama kerana waktu pembelajaran sudah tamat pada jam 1.35 petang.
“Tetapi bilik dilimpahi air semasa kerja-kerja pemadaman api dijalankan pihak bomba hingga menyebabkan alat bantuan mengajar rosak,” katanya.
Kon Sang berkata, beliau menghubungi bomba setelah menerima panggilan telefon daripada kerani sekolah yang memaklumkan kejadian berkenaan.
“Salah seorang penjaga menelefon kerani sekolah dan memberitahu ternampak asap dari bumbung bangunan. Kerani itu kemudian menelefon pula saya untuk memaklumkan perkara ini.
“Saya keluar dari pejabat untuk mengesahkan perkara ini dan kemudian terus menghubungi bomba,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Ayer Keroh, M Vijayan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.36 petang dan sampai ke sekolah itu pada 3.41 petang.
“Dengan kekuatan 10 anggota termasuk pegawai dan dua jentera, api dapat dipadamkan sepenuhnya selepas enam minit.
“Punca kebakaran dipercayai disebabkan sarang burung yang ada di sebalik bumbung disambar petir yang mengakibatkan siling di tangga tingkat dua bangunan ini terbakar,” katanya.
Menurut beliau, jumlah kerugian masih belum diketahui.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7597041.asp
Rabu, 21 April 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan