FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Selasa, 6 April 2010

SK Peria terbakar dipanah petir

Utusan Malaysia 6 April 2010

KUALA KRAI 5 April - Sebuah blok bangunan dua tingkat Sekolah Kebangsaan (SK) Peria di sini, kerugian kira-kira RM500,000 selepas musnah dalam kebakaran yang dipercayai akibat disambar petir hari ini.

Kebakaran di blok utama bangunan itu menyebabkan empat bilik darjah, makmal, guru dan pejabat pentadbiran hangus termasuk pelbagai peralatan pejabat.

Pengarah Pelajaran negeri, Che Hussain Awang berkata, api yang marak pada pukul 4.30 petang itu turut memusnahkan semua alat bantu mengajar termasuk 15 komputer riba dan 10 LCD.

"Kebakaran berlaku kira-kira sejam selepas 150 pelajar dari darjah empat, lima dan enam selesai mengikuti kelas tambahan petang ini.

"Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan berlaku kerana semua murid telah pulang ke rumah masing-masing," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Menurut beliau, hujan lebat termasuk ribut petir dipercayai menjadi punca berlakunya litar pintas tersebut.

Ujarnya, kebakaran berkenaan disedari oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Mohd. Nor Hashim yang kemudian segera menghubungi bomba.

Jelasnya, sesi persekolahan di sekolah yang menempatkan 315 pelajar dan 29 guru itu bagaimanapun tidak terjejas.

"Lima bilik darjah di blok bersebelahan tidak terjejas, oleh itu kita akan menempatkan semua pelajar di situ.

"Bantuan juga akan disalurkan oleh jabatan dan kita akan mendapatkan peruntukan Kementerian Pelajaran untuk membaik pulih dan membekalkan peralatan," katanya lagi.

Kebakaran di sekolah itu merupakan yang terbesar berlaku di negeri ini sejak dua tahun lalu.

SK Peria kini dalam proses pembesaran, melibatkan pembinaan dua blok bangunan setinggi empat tingkat yang dijangka siap Disember ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_30.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan