Utusan Malaysia
ARKIB : 29/04/2006
ARKIB : 29/04/2006
MARAK... Api dan asap tebal menjulang di depot simpanan minyak dan gas Petronas Dagangan Berhad di Pasir Gudang ekoran letupan yang dipercayai berpunca daripada panahan petir, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
JOHOR BAHRU 28 April - Dua tangki minyak dan sebuah tangki gas asli milik Petronas Dagangan Berhad meletup, dipercayai akibat panahan petir ketika hujan lebat petang ini menyebabkan kebakaran besar di depot minyak anak syarikat Petronas itu di kawasan perindustrian Pasir Gudang, dekat sini.
Kebakaran yang bermula pada pukul 6 petang dalam hujan lebat itu menyebabkan kawasan kejadian dilitupi asap tebal dengan api menjulang setinggi 30 meter. Ia dapat dilihat sejauh beberapa kilometer.
Sehingga pukul 11 malam ini, api masih marak di salah sebuah tangki minyak terbabit.
Setakat ini tiada laporan mengenai kematian. Bagaimanapun seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Hishamudin Zainal Abidi, 21, cedera ketika menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran.
Beliau yang patah kaki dikejarkan ke Hospital Penawar, Pasir Gudang.
Sementara itu, Petronas Dagangan dalam kenyataannya menyatakan kebakaran itu berlaku apabila sebuah tangki di depot bekalan minyaknya dipanah petir dan ia kemudiaan merebak ke beberapa tangki berhampiran.
Kebakaran itu menyebabkan seluruh kawasan perindustrian Pasir Gudang mengeluarkan bau kimia, menyebabkan orang ramai yang berada di kawasan sekitar diarah meninggalkan kawasan itu dengan segera.
Lapan jentera bomba bersama lebih 80 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Johor Jaya, Pasir Gudang dan Johor Bahru termasuk Pasukan Menangani Bahan Kimia (Hazmat) dan sebuah skylift dikejarkan ke tempat kejadian.
Turut sama membantu memadamkan kebakaran itu ialah dua pasukan bomba sukarela dari syarikat Titan Chemicals Corporation Bhd. dan syarikat Idemitsu SM (M) Sdn. Bhd.
Pegawai Bomba II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Ismail Abdullah berkata, dua tangki yang terbakar itu dipercayai memuatkan kira-kira 70,000 hingga 80,000 liter minyak.
Menurutnya, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran itu daripada merebak ke kawasan berdekatan.
Utusan Malaysia yang berada di tempat kejadian mendapati bunyi siren amaran kecemasan kedengaran berterusan bagi memaklumkan kepada para pekerja di kilang di situ dan sekitarnya supaya menjauhi kawasan kejadian kerana dikhuatiri berlaku letupan.
Beberapa letupan kecil masih kedengaran walaupun setelah kebakaran berjaya dikawal oleh pihak bomba.
Selain itu, para pekerja dari kilang berdekatan turut diarah meninggalkan tempat kerja masing-masing sebagai langkah keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
Difahamkan, terdapat berbelas-belas tangki minyak yang setiap satu dapat mengisi 1 juta liter dan bahan kimia lain berada di sekitar lokasi kebakaran.
Bersebelahan tempat kejadian, terdapat satu kawasan industri yang menempatkan kilang memproses bahan-bahan kimia yang turut dipantau oleh pasukan bomba berkenaan.
Kebakaran tersebut juga menyebabkan Lebuh raya Pasir Gudang sesak teruk.
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2006/4/29/TERKINI/Mutakhir/Tiga_tangki_minyak_Petronas_terbakar&sec=mstar_berita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan