FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Khamis, 22 April 2010

Seorang maut, banglo terbakar kena petir

27-Apr-2006
KUALA LUMPUR: Seorang penyelia kontraktor pemotong rumput maut dan dua pekerjanya cedera, manakala banglo milik bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Yahya Yeop Ishak, hangus disambar petir dalam kejadian berasingan, petang semalam.

Rezman Bujang, 32, dan dua pekerjanya dipanah petir ketika berteduh di wakaf Padang Timur berhampiran Dataran MPPJ, Petaling Jaya pada jam 3.15 petang dan selang 15 minit selepas itu, banglo Yahya di Damansara Heights di sini dilaporkan terbakar, dipercayai akibat litar pintas selepas disambar petir.

Rezman dari Taman Datuk Harun, Jalan Klang Lama, meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua pekerja warga Indonesia, Ading, 32, dan Lukman, 27, dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ading dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana melecur di badan manakala Lukman mendapat rawatan di wad biasa.

Semua mangsa yang dalam perjalanan dari Petaling Jaya ke Sungai Buloh dengan menunggang dua motosikal, dikatakan berhenti berteduh di wakaf itu sejurus hujan lebat.

Seorang lagi pekerja warga Indonesia yang terselamat berkata, beliau melihat percikan api disusuli dentuman petir yang menyebabkan Rezman terpelanting manakala dua rakannya rebah.

“Saya menghubungi rakan sekerja kami yang kemudian menelefon polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di PPUM.

Sementara itu, dalam kejadian di Damansara Heights, isteri Yahya, Datuk Zakiah Laidin, anak lelaki, menantu, empat cucu serta empat pembantu mereka yang berada dalam banglo tiga tingkat itu, sempat menyelamatkan diri.

Panahan petir sejurus sebelum hujan lebat itu, dipercayai menyebabkan berlaku litar pintas yang menjadi punca kebakaran di sebuah bilik tidur sebelum merebak dan memusnahkan tingkat tiga banglo itu.

Yahya, 73, yang bersara pada 1987 dan kini Pengarah Gamuda Bhd, dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi pembantunya, sejurus kebakaran itu berlaku.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada panahan petir yang menyebabkan litar pintas.

Ketua Operasinya, Anuar Harun bagaimanapun berkata siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran.

“Kebakaran memusnahkan kira-kira 80 peratus tingkat tiga banglo itu manakala tingkat satu dan dua hanya mengalami kerosakan kecil,”
Katanya.

Kelmarin, seorang kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mati dipanah petir, ketika menunggang motosikal pulang ke rumahnya di Felda LBJ, dekat Seremban.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 petang itu, Mohd Faiser Baharin, 39, dikatakan terjatuh dari motosikal sebaik terkena panahan petir sebelum dibawa orang ramai ke Hospital Pakar Seremban (SSH).

Mohd Faiser terus dipindahkan ke Hospital Seremban (HS), tetapi disahkan meninggal sebaik tiba.

http://aplikasi.kpkt.gov.my/akhbar.nsf/8521d968204e8b454825697400224ca6/6c558df8c670b22d4825715d00091a22?OpenDocument

Tiada ulasan:

Catat Ulasan