FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Rabu, 20 September 2017

Bumbung sekolah dipanah petir


Bumbung sekolah dipanah petir
20 September 2017

SIJANGKANG - Tindakan pantas seorang guru dan pengawal keselamatan yang cuba memadamkan api di bahagian bumbung berjaya menyelamatkan keseluruhan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, di sini daripada hangus terbakar.

Kebakaran bumbung di pusat sumber sekolah yang dipercayai berlaku akibat dipanah petir itu cuba dipadamkan menggunakan alat pemadam api dalam kejadian jam 3.25 petang, kelmarin.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Hashim Sahed berkata, kejadian pada bangunan empat tingkat itu diketahui ketika berada di rumah selepas dimaklumkan cucunya.

“Ketika kejadian, cucu sedang bermain di padang bersebelahan sekolah dan dia beritahu saya pasal kebakaran ini.

“Jentera bomba kemudian tiba memadamkan api sebelum merebak dengan cepat,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan di sini, semalam.

Hashim berkata, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat turut hadir bagi meneliti kerosakan termasuk sebahagian di dalam kawasan bilik pusat sumber yang turut memuatkan rak buku.

“Saya difahamkan, permohonan baik pulih akan dipanjangkan kepada Kementerian Pendidikan tapi buat masa ini, sebarang aktiviti bersama pelajar dilarang dijalankan di tingkat empat yang turut menempatkan bilik tayang sehingga ia siap diperbaiki.

“Saya bersyukur, kejadian tidak melibatkan nyawa, cuma bimbang beberapa kakitangan pejabat masih bertugas. Alhamdullillah tak ada apa-apa berlaku,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli berkata, beliau berharap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang dapat beroperasi sepenuhnya segera berikutan keperluan perkhidmatan bomba di kawasan berkenaan sangat mendesak.

Khamis, 24 Ogos 2017

Dua rumah terbakar dipanah petir




Dua rumah terbakar dipanah petir
23 Ogos 2017

DUA rumah terbakar dipercayai dipanah petir dalam kejadian di Kampung Dalam Rhu, Tumpat petang hari ini.

Dalam kejadian 5.40 petang itu, sebuah Proton Saga dan dua motosikal turut musnah.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Saksi kejadian, Esah Mohd Yusof, 66, berkata, ketika kejadian dia sedang mengajar cucunya mengaji al-Quran.

Katanya, dia dikejutkan bunyi petir sebelum melihat api marak di rumah jirannya, Azizah Aziz, 58,

"Saya menarik cucu menyelamatkan diri. Ketika itu saya tidak terfikir untuk menyelamatkan sebarang dokumen penting.

"Sebaik saja keluar dari rumah, saya lihat api di rumah jiran marak sebelum orang ramai datang dan menghubungi bomba.

"Kebakaran turut mengakibatkan dinding rumah saya hangus namun bomba sempat mengawal api daripada terus merebak," katanya tadi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.45 petang.

Katanya, 14 anggota bomba dari BBP Tumpat dan BBP Pengkalan Kubor dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami dapati api sedang marak dan rumah terbabit sudah 80 peratus terbakar.

“Bomba mengambil masa 10 minit untuk mengawal api daripada merebak," katanya.

Menurutnya, punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

- Harian Metro

Isnin, 21 Ogos 2017

Lelaki maut disambar petir




Lelaki maut disambar petir
12 Ogos 2017

HULU TERENGGANU - Seorang lelaki yang mencari rezeki sebagai pengumpul barang terpakai maut disambar petir di tempat pembuangan sampah di Batu 22 (Jalan Ajil - Kuala Berang), di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa, Mat Junoh Mamat,51, daripada Batu 21, Kg Merbau Pulas, Ajil ditemui telah meninggal dunia oleh anaknya sendiri yang keluar mencari mangsa  setelah bapanya tidak pulang ke rumah sebagaimana waktu sepatutnya.

"Lebih kurang 7.25 petang(11Ogos11), pihak polis telah terima panggilan telefon daripada orang awam menyatakan terjumpa mayat seorang lelaki di tempat pembuangan sampah di Batu 22.Pemeriksaan awal polis mendapati terdapat kesan melecur pada kulit di bahagian leher, tangan dan perut mangsa.

"Sementara itu, berdasarkan keterangan keluarga Mat Junoh, mangsa dikatakan keluar bekerja pada jam 8 pagi semalam (kelmarin) dan  kebiasaannya akan pulang ke rumah sekitar jam 5 petang. Namun, pada hari kejadian mangsa tidak pulang-pulang ke rumah meskipun sudah senja.

"Anak mangsa, Sabri Mat Junoh telah keluar mencari di kawasan pelupusan sampah berkenaan sebelum menemui ayahnya telah meninggal dunia dalam keadaan terlentang berdekatan dengan sebuah pondok di tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu dan hasil bedah siasat dijalankan jam 10 pagi tadi(semalam) disahkan sebab kematian adalah disambar petir.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Polis juga menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan turut peka pada keadaan cuaca bagi elakkan sebarang perkara tidak diingini," katanya.

Lelaki maut disambar petir




Lelaki maut disambar petir
Sabtu, 24 Jun 2017
           
MACHANG: Seorang lelaki maut, manakala dua cedera akibat disambar petir ketika melapah lembu di Padang Kampung Lalang Luas, Pulai Chondong, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang tadi, mangsa, Hilmi Hassan, 32, bersama enam rakannya disambar petir ketika melapah seekor lembu untuk persiapan menyambut Aidilfitri.

Empat lagi berusia antara 37 tahun dan 55 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani, berkata mangsa meninggal dunia di di tempat kejadian, manakala dua mangsa yang cedera, termasuk kanak-kanak berusia 10 tahun dirawat di Hospital Machang.

"Mayat mangsa dibawa Hospital Machang untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Rabu, 26 April 2017

Pekerja warga asing maut disambar petir



Pekerja warga asing maut disambar petir
26 April 2017

Seorang pekerja wanita warga Indonesia maut disambar petir ketika menyelenggara landskap di bawah Menara Kawalan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan rakan sekerjanya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada majikan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, kata Abdul Aziz.

- Bernama