FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Selasa, 22 Mac 2011

Pelajar parah, paru-paru pecah


Sinar Harian 22 Mac 2011

Dipanah petir ketika mahu bergerak menaik basikal selepas main bola, masih kritikal

BANDARAYA MELAKA – Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek di sini, bertarung dengan maut akibat dipanah petir, kira-kira jam 3 petang, kelmarin.

Mangsa, Haikal Izwan Rahimin, 13, masih kritikal di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka.

Abang mangsa, Haikal Iman, 15, berkata, ketika kejadian, mereka berhenti bermain bola sepak di Kampung Padang sebaik hujan gerimis.

“Kami mahu pulang ke rumah tetapi secara tiba-tiba, adik saya dipanah petir semasa mahu bergerak menaiki basikal,” katanya.

Menurutnya, mereka segera mengangkat mangsa dan memaklumkan kepada keluarga sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Haikal Izwan mengalami bengkak otak, gegendang telinga dan paru-paru pecah, selain kecederaan buah pinggang,” katanya.

Sementara itu ibu mangsa, Saniah Abu Bakar, 34, berkata, anaknya menunjukkan perubahan sikap pada hari kejadian.

“Selalunya dia minta wang sebaik sahaja bangun tidur untuk beli sarapan tetapi kelmarin dia hanya berdiam diri.

“Haikal Izwan memang anak yang baik dan aktif bermain bola sepak,” katanya.

Sementara itu, nasib malang yang menimpa keluarga itu mendapat perhatian apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Md Yunos Husin turun padang melawat mangsa.

Menurutnya, kejadian seperti itu amat jarang berlaku dan pihaknya akan memberi bantuan sewajarnya mengikut keperluan mangsa.

“Kami berharap keluarga mangsa bersabar dengan kejadian ini,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8892262.asp