FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Jumaat, 29 September 2017

Surau musnah terbakar dipercayai dipanah petir



Surau musnah terbakar dipercayai dipanah petir
28 September 2017

REMBAU – Dalam jarak kira-kira empat kilometer dari lokasi kebakaran bangunan asrama perempuan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Kampung Nerasau, sebuah surau lama berusia lebih 80 tahun di Kampung Relong musnah terbakar, petang tadi.

Sinar Harian difahamkan, surau lama berkenaan terbakar apabila sistem pendawaian yang terletak di luar surau dipanah petir.

Dalam kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Ketua Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Dzor Yusof bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.40 petang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fuad Majid, pasukannya tiba di lokasi pada jam 5.08 petang dan sebaik sampai api sudah marak.

“Surau lama berstruktur papan berukuran 40x40 kaki musnah 100 peratus.   Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh lima minit sebaik pasukan bomba sampai.

“Susulan kejadian ini, balai bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin turut sama dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya.

Turut hadir ke lokasi kebakaran Adun Kota, Datuk Dr Awaludin Said dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis yang bergegas ke lokasi kebakaran sebaik mendapat makluman dari bangunan asrama perempuan STIAS.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan