FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Jumaat, 30 April 2010

10 PESERTA CANDAT SOTONG DIPANAH PETIR

Ahad Mei 10, 2009
10 PESERTA CANDAT SOTONG DIPANAH PETIR


CEDERA Adnan Dollah, 49, menunjukkan kecederaan yang dialaminya akibat disambar petir sewaktu berada di dalam bot untuk mencandat sotong ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam semalam, 10 peserta yang menyertai ekspedisi mencandat sotong disambar petir dan menyebabkan kesemua mangsa mendapat cedera ringan manakala Adnan mengalami kecederaan di bahagian dada. -- fotoBERNAMA

KUALA TERENGGANU: Kegembiraan 10 peserta yang menyertai ekspedisi mencandat sotong, bertukar tragedi apabila mereka disambar petir di perairan Kuala Terengganu, malam tadi.

Berikutan kejadian itu, lima daripada mereka termasuk seorang yang cedera parah, terpaksa ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, manakala lima lagi diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

Mangsa yang ditahan di hospital berkenaan ialah Adnan Dollah, 49, Shahrulnizam Kamaruddin, 22, Shahrulnizam Yahya, 25, Shahminizam Shahar, 17, dan Zuhaimi Mad Amin, 39.

Lima lagi yang dibenarkan keluar daripada HSNZ ialah Hamidi Ibrahim, 45, Kamat Ibrahim, 30, Rosli Shafie, 39, Miskom Jemari, 30, dan Shahar Abu Bakar, 49.

Menceritakan pengalaman ngeri itu, seorang mangsa, Shahrulnizam berkata hujan lebat yang disusuli petir berlaku ketika mereka sedang mencandat sotong kirakira pukul 10 malam.

"Saya nampak satu cahaya yang sangat cerah disusuli petir menyebabkan saya hampir pitam. Dalam keadaan kelamkabut, saya lihat kaki saya bengkak dan punggung saya susah diangkat," katanya ketika ditemui di HSNZ hari ini.

Shahrulnizam berkata semasa kejadian, beliau berada di bahagian belakang bot bersama beberapa rakannya yang lain.

"Saya fobia dan mungkin tidak akan mencandat sotong lagi selepas ini. Tahun lepas, kami pernah datang mencandat sotong, tetapi tidak jadi seperti ini," katanya yang cedera di telinga.

Hamidi yang mengetuai ekspedisi mencandat sotong kakitangan Jabatan Kraftangan Putrajaya itu, berkata ketika kejadian mereka sedang melakukan aktiviti itu di perairan Kuala Terengganu berhadapan Pulau Duyong.

Beliau berkata mereka tiba di sini, Khamis lepas dan menyewa sebuah bot di Seberang Takir untuk menyertai ekspedisi itu, yang dijadualkan berakhir hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Nordiyanah Hassan ketika dihubungi berkata kelimalima mangsa yang masih dirawat di HSNZ itu berada dalam keadaan baik dan stabil.

Beliau berkata kesemua mangsa hanya cedera ringan kecuali seorang yang melecur di bahagian dada kanan. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/5/10/mstar_berita/20090510135437&sec=mstar_berita


Rabu Januari 30, 2008
BUDAK MAIN BOLA KOMA DIPANAH PETIR

TELUK INTAN: Seorang murid tahun enam cedera parah manakala lima yang lain cedera akibat terkena petir semasa sedang bermain bola sepak di padang sebuah sekolah di sini Selasa.

Sharul Hazriq Baharuddin, 12, dimasukkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) dalam keadaan koma.

Kejadian itu berlaku semasa mangsa bersama beberapa rakannya sedang bermain bola sepak di padang Sekolah Kebangsaan Sungai Tungku di sini pada kira-kira 5 petang.

Jurucakap polis berkata seorang guru, Zainal Abidin Rauf, 40, bersama empat murid bagaimanapun hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Sementara itu, bapa mangsa, Baharudin Bahran, 44, berkata anaknya yang mengalami kesan terbakar di bahu dan tangan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi HTI dan masih tidak sedarkan diri hingga tengah hari Rabu.

Beliau berkata Zainal Abidin telah memberi pertolongan cemas kepada anaknya sebelum mengejarkannya ke hospital. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2008/1/30/TERKINI/Mutakhir/Budak_main_bola_koma_dipanah_petir&sec=mstar_berita

JUMAAT JANUARI 19, 2007
PELAJAR TAHUN AKHIR MAUT DISAMBAR PETIR

KOTA SAMARAHAN: Hasrat seorang pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) jurusan Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSPKM) untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Muda tidak tercapai apabila maut disambar petir di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 4 petang semasa Chai Ming Hui, 23, yang berasal dari Kuching, bersama dua rakannya dalam perjalanan balik ke asrama selepas menghadiri kuliah.

Seorang rakan mangsa yang enggan namanya disiarkan, berkata kejadian berlaku semasa hujan dan Chai yang diapit dua lagi rakannya berjalan sambil memegang payung.

"Payung yang dipegang Chai disambar petir menyebabkan mereka bertiga jatuh. Dua lagi rakan saya yang berdiri di tepinya hanya mengalami kejutan elektrik," katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUs), di Kuching.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Abang Abdillah Abang Najib ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. BERNAMA
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2007/1/19/TERKINI/Mutakhir/Pelajar_tahun_akhir_maut_disambar_petir&sec=mstar_berita


Isnin November 13, 2006
PELAJAR, 15, MATI DIPANAH PETIR

TELUK INTAN: Seorang remaja terbunuh manakala dua yang lain termasuk seorang peniaga cedera akibat disambar petir di Taman Sri Jaya di sini hari ini.

Kejadian itu berlaku kira-kira 4 petang tadi semasa hujan lebat.

Jurucakap polis di sini berkata mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Hasril Baharudin, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz di sini.

Dua yang cedera ialah peniaga pisang goreng, Mariana Mohamad, 37, dan seorang lagi remaja dikenali sebagai Mohd Azim Amran, 12.

Katanya dua remaja itu sedang berteduh di bawah sebatang pokok manakala Mariana pula berada di gerainya yang terletak kira-kira dua meter dari situ.

Hasril yang mengalami kecederaan parah di bahagian muka meninggal dunia di tempat kejadian, kata jurucakap itu.

Dua lagi mangsa dimasukkan ke Hospital Teluk Intan, kata beliau.

Sementara itu, abang Mohd Azim, Azman, 15, yang turut berada di tempat kejadian berkata mereka sedang duduk berbual di bawah pokok berkenaan apabila tiba-tiba terdengar bunyi kuat.

"Tiba-tiba bunyi kuat dan saya melihat cahaya putih di sekeliling kami dan apabila tersedar mendapati ketiga-tiga mereka terbaring tak sedarkan diri... Saya bergegas ke rumah untuk memberitahu bapa," katanya.

Kata Azman, bapanya Amran Ismail yang berada di rumah terus bergegas ke tempat kejadian dan menghantar kesemua mangsa ke hospital. BERNAMA
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2006/11/13/TERKINI/Mutakhir/Pelajar_15_mati_dipanah_petir&sec=mstar_berita


Isnin Mei 22, 2006
DUA MAUT DI LITAR LUMBA MOTOSIKAL LASAK

TAIPING: Dua orang terbunuh dan seorang lagi tercedera dalam dua tragedi ketika menyaksikan Kejohanan motosikal lasak Livita Malaysia Motorcross pusingan ketiga di Litar Kamunting Jaya di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian pertama sekitar 4.40 petang, kegembiraan sekumpulan kanak-kanak yang datang menyaksikan kejohanan itu berakhir dengan tragedi apabila salah seorang dari mereka terbunuh selepas dirempuh sebuah motosikal peserta pertandingan yang hilang kawalan.

Motosikal yang ditunggangi peserta Singapura, Chia Seow Leong, 34, terbabas di satu selekoh ketika mengadakan pusingan ujian, sebelum ia melanggar bucu belakang sebuah Perodua Kancil di bahu jalan, lalu merempuh sekumpulan penonton yang berada di belakang kereta itu.

Ketua Polis Daerah Larut Matang Selama, ACP Kassim Ahmad berkata Norshima Jamaluddin, 11, dari Kampung Simpang Halt di sini cedera parah di dada manakala Chia cedera parah di kaki dan tangan akibat kejadian.

"Kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan, tetapi Norshima meninggal dunia pada pukul 6.45 petang semalam (Sabtu), manakala keadaan Chia stabil," katanya ketika dihubungi pemberita di sini semalam.

Jenazah Norshima sudah dituntut anggota keluarganya selepas bedah siasat dan beliau dikebumikan pada pukul 10 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam Simpang di sini.

Sementara itu dalam kejadian terdahulu di litar sama, seorang pekerja warga Indonesia terbunuh manakala rakannya cedera akibat dipanah petir semasa kedua-dua mereka sedang dalam perjalanan pulang ke asrama penginapan.

ACP Kassim berkata yang terbunuh dalam kejadian sekitar pukul 4.35 petang itu dikenali sebagai Syaiful Anam, 25, manakala rakannya yang tercedera hanya dikenali sebagai Aji, 24.

Syaiful merupakan pekerja di Daizhone Construction & Tractor Works, No 19 Lorong Merdeka Satu manakala Aji bekerja di Tokoyaki Property Sdn Bhd, Lorong Kilang 11, Kawasan Perindustrian Ringan Tupai di sini.

Menurut ACP Kassim Syaiful yang terkena panahan petir di bahagian belakang kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala Aji mengalami lebam dari bahagian pinggang ke bawah.

"Mayat Syaiful sudah dibedah siasat di Hospital Taiping pada pukul 10 malam tadi manakala Aji masih menerima rawatan di hospital sama dan keadaan beliau adalah stabil," katanya dan menambah bahawa jenazah sudah dituntut oleh abang Syaiful, Sunarko, yang akan membawanya pulang ke Indonesia secepat mungkin untuk dikebumikan.

Kejohanan Livita Malaysia Motorcross 2006 yang pertama kali diadakan di sini disertai lebih 150 penunggang dan berlangsung selama dua hari bermula Sabtu. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2006/5/22/TERKINI/Mutakhir/Dua_maut_di_litar_lumba_motosikal_lasak&sec=mstar_berita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan