FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Khamis, 22 April 2010

‘Mereka terpelanting’

ALOR STAR: “Saya nampak cahaya kilat diikuti dentuman guruh dan pada masa sama dua beranak itu terpelanting dalam tali air,” kata Phisol Hasbullah, 46, saksi kejadian seorang guru agama, Mohd Fauzi Saad, 41, mati dipanah petir ketika menunggang motosikal di Kampung Tok Keling, dekat sini, semalam.

Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal bersama anaknya, Muhammad Irdhi, 11, namun, kanak-kanak berkenaan terselamat walaupun parah.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika hujan renyai-renyai itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak keduanya itu parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Bayam, kira-kira satu kilometer dari Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Mengkudu dengan melalui jalan kampung di tepi tali air berkenaan.

Phisol yang juga sepupu mangsa, berkata ketika kejadian dia berbual dengan dua saudaranya, Fauzi Majid, 44, dan Mohd Shukri Md Zain, 38, di luar rumahnya kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

“Ketika berbual, saya nampak mangsa menunggang motosikal bersama anaknya. Bagaimanapun, sejurus selepas panahan petir itu, saya nampak motosikal mereka terbabas ke dalam tali air,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik, HSB di sini, semalam.

Melihat kejadian itu, ketiga-tiga lelaki itu bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta dan mendapati kedua-dua beranak itu tidak sedarkan diri dalam tali air kira-kira satu meter itu.

“Saya melihat baju Mohd Fauzi hangus dan belakang badannya melecur, manakala mulut Muhammad Irdhi pula berbuih,” katanya.

Mereka membawa mangsa ke HSB untuk menerima rawatan, namun Mohd Fauzi yang juga bapa empat anak, disahkan sudah meninggal dunia.

Sementara itu, isteri mangsa, Azila Abdullah, 35, yang juga seorang guru ketika ditemui, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu ketika pulang dari mengajar di SK Buluh Lima, Simpang Empat, dekat sini, kira-kira jam 2 petang semalam.

“Keluarga tidak mahu beritahu kerana bimbang keadaan saya yang sedang memandu pulang ke rumah. Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Azila berkata, arwah suaminya keluar dari rumah untuk ke sekolah dengan kereta kira-kira jam 7 pagi semalam sebelum pulang semula ke rumah beberapa jam selepas itu untuk mengambil ubat anak keduanya yang tidak berapa sihat.

“Arwah pergi semula ke sekolah dengan menunggang motosikal. Kebiasaannya dia menaiki kereta, tapi entah kenapa hari ini (semalam) dia mahu menunggang motosikal. Arwah juga bersikap seperti biasa, cuma beritahu dia akan pulang ke rumah sekejap untuk mengambil ubat anak,” katanya.

Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSB untuk dibedah siasat.

http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=2065&start=0&postdays=0&postorder=asc&highlight=

Tiada ulasan:

Catat Ulasan