22 April 2014
REMBAU – Sepasang
suami isteri warga emas di Kampung Nerasau, dekat sini, tidak menyangka bunyi
dentuman di hadapan rumahnya adalah kejadian tanah runtuh.
Kamarudin Othman, 73, berkata, pada mulanya, dia dan
isterinya menyangka bunyi itu adalah pasu yang terjatuh.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika hujan lebat dan
selepas bunyi dentuman, bekalan elektrik ke kediamannya terputus.
“Sebaik menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) TNB, pihak berkenaan menyuruh saya mengambil
nombor tiang elektrik di luar rumah dan saya keluar bagi mendapatkan nombor
tiang berkenaan. Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati tiang elektrik
patah dua dan tanah jalan rumah jiran saya sudah runtuh.
“Mungkin pokok di tebing ini dipanah petir berikutan
terdapat kesan seperti panahan petir sehingga menyebabkan tanah runtuh. Saya
terus menghubungi agensi berkaitan dan bantuan tiba tidak lama kemudian,”
katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.
Kamarudin berkata, sejak dia mendiami kediamannya kira-kira
12 tahun lalu, insiden tanah runtuh seperti itu adalah yang pertama kali
berlaku.
Sementara itu, Pegawai Daerah, Zaidi Johari berkata,
pihaknya ada menerima aduan berhubung insiden berkenaan dan sekiranya lokasi
berkenaan berbahaya, pihaknya akan meminta peruntukan segera di bawah bencana
alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan