Kilat: Antara bukti kebesaran Allah
Oleh Dr. NOOR AZLINDA AHMAD
Kilat atau petir merupakan satu
fenomena alam ciptaan Allah SWT yang sungguh luar biasa dan sangat
menarik untuk dikaji.
Walaupun banyak teori berkaitan
mekanisme kejadian kilat telah ditulis dan dihuraikan oleh ramai
saintis terkenal, namun ia sukar difahami dan kajian mengenainya
masih diteruskan sehingga kini.
Kehadirannya sukar dijangka namun
akibatnya boleh mengundang padah!
Negara kita Malaysia adalah sebuah
negara beriklim tropika yang mempunyai kadar taburan kilat (ground
flash density) antara tertinggi di dunia iaitu lebih kurang 20
flash/kilometer persegi /tahun.
Republik Congo di benua Afrika menerima
taburan kepadatan kilat tertinggi manakala kawasan Artik dan Antartik
adalah yang paling kurang taburan kilat di dunia.
Tahukah anda bagaimanakah proses
terjadinya kilat? Umumnya keadaan awan yang tebal dan tinggi yang
dikenali sebagai kumulonimbus adalah faktor utama dalam penghasilan
kilat, walaupun ia tidak semestinya berlaku.
Ini terbukti seperti mana yang telah
dinyatakan dalam firman Allah SWT,
Tidakkah engkau melihat bahawasanya
Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia
mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal
berlapis-lapis?
Selepas itu engkau melihat hujan turun
dari celah-celahnya dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit,
dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Dia menimpakan hujan
batu itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan menjauhkannya dari
sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Sinaran kilat yang terpancar dari awan
yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan
pandangan (An-Nuur, ayat 43)
Terdapat dua jenis kumpulan awan yang
utama iaitu kumulus dan stratiform.
Awan kumolonimbus adalah daripada
keluarga awan kumulus.
Awan tersebut tinggi dan berwarna putih
atau gelap. Tapaknya terletak pada ketinggian kira-kira 1,000 kaki
manakala puncaknya boleh mencapai ketinggian melebihi 35,000 kaki.
Ketebalan dan ketinggian awan ini
bergantung kepada kandungan kelembapan dan kestabilan atmosfera.
Dalam awan kumolonimbus ini terdapat
dua jenis cas berbeza iaitu cas positif dan cas negatif.
Cas-cas positif biasanya berada pada
altitud ketinggian antara tujuh km hingga 10 km, diikuti oleh cas-cas
negatif (antara lima dan tujuh km) dan akhir sekali sekumpulan kecil
cas positif di dasar (tapak) awan tersebut.
Oleh itu, semakin tinggi atau tebal
awan tersebut semakin banyak cas-cas positif dan negatif akan
terkumpul.
Pertambahan cas-cas yang terkumpul
dalam awan akan menghasilkan upaya medan elektrik yang tinggi.
Medan elektrik yang terhasil ini
seterusnya membekalkan tenaga yang mencukupi untuk cas-cas ini
bergerak dan mengalir ke bumi atau dikenali sebagai nyahcas.
Dengan itu, sifat udara yang pada
asalnya penebat akan berubah menjadi pengalir disebabkan oleh proses
nyahcas tersebut.
Pengaliran cas ke bumi menghasilkan
satu sinaran yang sungguh terang dalam tempoh masa kurang daripada
satu saat dengan suhu yang boleh mencecah sehingga 30 000 Kelvin (K)
atau 29,726°C!. Inilah yang dikenali sebagai kilat.
Kilat boleh dibahagikan kepada dua
kumpulan utama iaitu awan ke awan (cloud flash) dan awan ke bumi
(ground flash) dengan anggaran nisbah kekerapan sebanyak tiga.
Ini bermaksud, kejadian kilat jenis
awan ke awan adalah tiga kali lebih kerap dibandingkan dengan jenis
kilat awan ke bumi.
Walaupun demikian, kebanyakan kes
kemusnahan harta benda, kebakaran hutan dan kematian adalah
disebabkan oleh kilat jenis awan ke bumi. Ini kerana arus elektrik
yang dialirkan oleh kilat jenis ini sangat tinggi dan adakalanya
boleh mencecah sehingga 300 000 A3.
Dianggarkan kadar kematian disebabkan
oleh sambaran kilat di Malaysia adalah di antara 100 ke 150 kes dalam
tempoh setahun tahun.
Kilat jenis awan ke awan pula selalunya
dikaitkan dengan gangguan kepada sistem komunikasi dan penerbangan.
Ini kerana radiasi frekuensi tinggi yang dihasilkan oleh kilat boleh
mengganggu sistem penghantaran data komunikasi dan merosakkan
komponen elektronik yang digunakan di dalam pesawat.
Penulis ialah Timbalan Pengarah
Institut Voltan dan Arus Tinggi (IVAT)
Fakulti Kejuruteraan Elektrik
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan