Rumah terbakar dipanah petir
26 Mei 2014
KUALA PILAH – “Habis semua barang peninggalan arwah
isteri," luah Maarif Ahmad, 72, yang sedih selepas mendapati barang
seperti pinggan mangkuk antik berbunga kangkung hangus dalam kebakaran di
Kampung Masjid, dekat sini malam kelmarin.
Kebakaran dipercayai berpunca daripada panahan petir
berikutan ia berlaku ketika hujan lebat.
Menurut Maarif, waktu kejadian, dia tiada di rumah kerana
pergi ke Seremban bersama menantunya menziarah cucu baru dilahirkan.
Bagaimanapun, katanya, dia mendapat panggilan kira-kira 7.30
malam, ketika itu sudah berada di rumah ibunya Kampung Tanjung Beringin dekat
sini.
“Kami semua sudah pulang dari Seremban, tapi singgah sekejap
di rumah emak pakcik di Kampung Tanjung Beringin.
“Dalam sedap berbual, saya terkejut dengan panggilan
kecemasan dari jiran menyatakan rumah saya terbakar.
"Saya terus balik bersama menantu (Syarifful Rizal
Zainin, 37) dan setibanya di rumah, keadaan api sedang marak disebabkan
bahagian diperbuat daripada kayu, manakala bahagian ruang tamu dinding
batu,” katanya yang reda dengan kejadian
tersebut.
Maarif berkata, rumahnya yang berusia 20 tahun hangus
seratus peratus tanpa berjaya menyelamatkan perkakas rumah termasuk dokumen
penting.
“Saya sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana semua
barang-barang termasuk pakaian hangus dijilat api.
“Kerugian dianggarkan bernilai RM60,000. Walaupun rumah
sudah tiada, tetapi saya sekeluarga bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa
berlaku,” katanya akan menumpang sementara di rumah ibunya di Kampung Tanjung
Beringin.
Sementara itu, Syarifful berkata, kira-kira 6.30 petang
kelmarin, dia pulang ke rumah untuk memberi makanan kepada ternakan dan keluar
semula.
“Waktu itu, keadaan rumah masih elok dan tidak menyangka
perkara buruk akan menimpa kami. Jiran ada maklumkan, waktu kejadian hujan
lebat sekali dengan petir.
“Bila dentuman petir, tidak lama kemudian, jiran mendapati
rumah saya telah terbakar dan dipercayai berpunca dari kawasan dapur,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah,
Jaafar Yusof berkata, sebuah jentera membabitkan enam anggota bomba dan
penyelamat berjaya mengawal kebakaran api dari merebak ke rumah mesra rakyat
itu, yang jarak hanya 10 meter sahaja.
“Ketika bomba tiba di tempat kejadian, api sudah marak
dengan 80 peratus. Kita mengalami kesulitan melakukan kerja-kerja pemadaman api
berikutan kampung itu tiada sumber air dan pili bomba.
“Bagaimanapun api berjaya dipadam dalam tempoh 30 minit,”
katanya sambil memberitahu punca kejadian masih dalam siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan