FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Rabu, 21 September 2011

Pendakwah maut dipanah petir




Pendakwah maut dipanah petir
Harian Metro 21 Sep 2011

NUSAJAYA: “Ini hari kedua abang berpuasa enam, tidak sangka hajatnya menghabiskan ibadat berkenaan tidak kesampaian selepas meninggal dunia akibat dipanah petir,” kata Azizah Yahya, 44, di sini, semalam.

Azizah ditemui di kediaman abang iparnya, Mat Desa Hassim, 52, di Taman Nusa Perintis, petang semalam, yang meninggal dunia selepas dipanah petir ketika memancing ikan berhampiran perairan Puteri Harbour.

Menurut Azizah, abang iparnya sepatutnya pulang jam 5 petang semalam untuk persediaan berbuka puasa.

“Abang gemar melakukan ibadat sunat dan kerap memaklumkan mahu menghabiskan puasa enam ini, saya tidak sangka tahun ini abang gagal menyudahkan ibadat berkenaan.

“Hubungan saya dengan abang rapat kerana sebagai seorang pendakwah bebas, saya banyak belajar ilmu agama daripadanya,” katanya.

Menurut Azizah, pada Ramadan lalu, Mat Desa sempat ke Kedah berdakwah selama dua minggu di sana.

“Walaupun sedih, saya reda dengan ketentuan Tuhan ini,” katanya.

Hamidon Mohamed, 31, yang bersama Mat Desa ketika kejadian berkata, kejadian berlaku amat pantas.

“Saya dan seorang lagi rakan, Tarmizi, 50-an, duduk dalam bot apabila tiba-tiba terdengar dentuman kuat.

“Sejurus kemudian, saya dapati Tarmizi dalam keadaan bingung manakala Mat Desa yang berada di belakang bot tercampak ke laut,” katanya.

Hamidon terjun dan sempat mencapai kaki Mat Desa sebelum menarik mangsa ke dalam bot sebelum bergegas ke Jeti Tanjung Nelayan.

Menurut Hamidon yang juga kakitangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), dia sempat menghubungi isterinya dan meminta wanita itu menghubungi ambulans.

“Namun, sebaik tiba di jeti, petugas perubatan yang ada di situ mengesahkan Mat Desa sudah meninggal dunia,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pendakwahmautdipanahpetir/Article/index_html

Nelayan maut dipanah petir ketika bersiap memancing
Utusan Malaysia 21 Sep 2011
NUSAJAYA 20 Sept. - Kegembiraan tiga sahabat menjala udang dan memancing ikan di Puteri Harbour di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat dipanah petir.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mat Desa Hashim, 52, yang bekerja sebagai nelayan mati di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya, Hamidun Mohamed, 31, dan Tarmizi Jailani, 50, terselamat.

Hamidun ketika menceritakan kejadian itu berkata, mereka bertiga keluar ke laut kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki bot fiber milik mangsa.

"Selepas sejam kami menjala udang, hujan turut dengan lebat menyebabkan kami terpaksa berteduh di rumah rakit berhampiran tempat kami menjala.

"Sebaik sahaja hujan reda, kami ke laut semula untuk memancing ikan. Sedang kami sibuk menyiapkan kelengkapan memancing, saya terdengar dentuman kuat beserta cahaya petir," katanya ketika ditemui di kediaman Mat Desa di sini hari ini.

Hamidun yang bekerja sebagai operator Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) berkata, akibat dentuman itu, mangsa tercampak ke laut manakala Tarmizi terjatuh atas bot.

Dia kemudian segera terjun untuk mencapai kaki mangsa dan menariknya semula ke dalam bot sebelum menghubungi isteri mangsa untuk memaklumkan kejadian itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Razak Md. Said ketika dihubungi mengesahkan kejadian ini dan mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika pergi memancing terutama dalam keadaan cuaca buruk dan disertai hujan lebat serta petir.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Perintis.

Mangsa meninggalkan seorang isteri, Fauziah Yahya, 49, dan dua anak lelaki, Mohd Amirul, 15, dan Mohd Ashraf, 10 tahun.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_11.htm

Maut disambar petir
Sinar Harian 21 Sep 2011

GELANG PATAH - Hasrat tiga sahabat untuk memancing ikan di kawasan perairan Tanjung Nelayan, berhampiran Tanjung Kupang, di sini, berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripadanya maut disambar petir, semalam.

Mangsa, Mat Desa Hashim, 52, yang juga seorang nelayan, maut di tempat kejadian, manakala dua rakan lainnya, Hamidon Mohamad, 31, dan Tarmizi Jailani, 50an, sekadar trauma dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu.

Hamidon berkata, sudah menjadi kebiasaan baginya bersama Allahyarham dan Tarmizi untuk memancing ikan di Tanjung Nelayan setiap minggu.

Bagaimanapun katanya, tidak disangka aktiviti berkenaan yang dilakukan setiap kali tiba hari cuti menjadi yang terakhir buat sahabat karibnya itu.

“Sekitar jam 10.30 pagi, kami keluar ke Tanjung Nelayan dan sebaik sahaja tiba, kami bertiga menjala udang untuk dijadikan umpan memancing.

“Kami sempat berehat seketika di sebuah rumah rakit milik rakan apabila hujan turun.

“Sekitar jam 12.30 tengah hari, saya bertiga kembali ke tengah perairan untuk memancing dan dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat (petir) berserta cahaya secara tiba-tiba berhampiran kami ketika sedang sibuk menyediakan kelengkapan,” katanya ketika ditemui di perkarangan kediaman Mat Desa di Taman Nusa Perintis 1, dekat sini, semalam.

Hamidon berkata, dia berpaling dan melihat keadaan Tarmizi sudah terduduk, manakala Allahyarham tercampak ke laut.

Katanya, dia bertindak terjun dan mencapai kaki rakannya itu seterusnya dibawa ke atas bot.

“Saya segera menghubungi isteri untuk menghantar ambulans ke Jeti Tanjung Nelayan. Ketika dalam perjalanan ke jeti, saya sedaya upaya beberapa kali menekan dada arwah, namun tiada sebarang denyutan jantung dan nadi dirasai.

“Sudah tiba ajalnya di sini. Saya sendiri tidak dapat menolak ketentuan Illahi. Semoga roh arwah dicucuri rahmat hendaknya,” katanya.,” katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Fauziah Yahya, 49, dan dua cahaya mata, Mohd Amirul, 15, serta Mohd Asyraf, 10.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Nusajaya, Deputi Superintendan Razak Md Said ketika dihubungi mengesah kejadian dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR).

“Saya menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan sebarang aktiviti di kawasan lapang atau memancing di kawasan perairan memandangkan cuaca yang kurang elok,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/johor/content/story9549856.asp

Rabu September 21, 2011
Lelaki Maut Disambar Petir

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2011/9/21/mstar_jenayah/20110921094458&sec=mstar_jenayah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan