FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Khamis, 6 Mei 2010

Diancam kilat, petir


2010/05/06

Penghuni Bukit Rinting bimbang alat elektrik sering rosak

JOHOR BAHRU: Seramai 50 penghuni rumah mewah di Taman Bukit Rinting bersebelahan Taman Rinting dekat sini, dalam kebimbangan berikutan ancaman kilat dan petir setiap kali hujan lebat yang menyebabkan banyak peralatan elektrik mereka rosak teruk akibat dipanah petir sekali gus mengakibatkan kerugian antara RM2,000 dan RM5,000 sejak dua tahun lalu.

Penduduk mendakwa beberapa barangan elektrik termasuk mesin faksimile, mesin basuh, televisyen dan peti sejuk kerap mengalami kerosakan apabila kabel utama barangan berkenaan dipanah petir setiap kali kilat dan petir. Tinjauan ke kawasan perumahan berkenaan mendapati kejadian terbabit kerap berlaku terutama sekitar deretan rumah di Jalan Tembusu 13, 14, 15 dan 17 yang kebetulan kedudukan rumah terbabit di kawasan berbukit dan sekeliling rumah dipenuhi pokok landskap besar yang berusia lebih 30 tahun.

Jurucakap penduduk, Azmi Taib, 46, penduduk kini fobia setiap kali berlaku hujan dan kilat kerana bimbang kejadian yang sama berulang menyebabkan penduduk bakal mengalami kerugian teruk apabila barangan elektrik mereka rosak dipanah petir.

Katanya, kejadian terbaru berlaku April lalu, apabila mesin faksimile dan mesin basuh beliau rosak dipanah petir menyebabkan barangan berkenaan tidak boleh digunakan lagi dan kerugian sekitar RM2,000 dalam kejadian hujan dan petir tidak sampai sejam itu.
“Kami hairan bagaimana kawasan kediaman kami terlalu kerap mengalami gangguan petir berbanding kawasan lain yang kebetulan berhampiran dengan kawasan ini. Mungkin kawasan ini tidak dipasang kabel penahan petir atau wayar penebat bumi.
“Keadaan ini membimbangkan kami setiap kali apabila hujan dan petir kuat yang berlaku jika kami tidak ada di rumah. Kemungkinan pelbagai kejadian buruk berlaku ke pada ahli keluarga dan barangan elektrik di rumah,” katanya.

Azmi berkata, pada November lalu, kejadian kilat dan petir turut berlaku disusuli hujan dan angin kencang menyebabkan tidak kurang 10 rumah di kawasan itu rosak apabila dihempap dahan pokok.

“Ketika itu, barangan elektrik kami juga banyak yang rosak dan tidak boleh digunakan lagi, kami terpaksa menggantikan yang baru untuk kegunaan seharian. Malah, berlaku kejadian pintu pagar automatik tidak berfungsi menyebabkan beberapa penduduk terperangkap di dalam rumah ketika kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, penduduk sudah membuat laporan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung kerosakan berkenaan termasuk meminta pihak terbabit membuat siasatan bagaimana kejadian petir terlalu kerap berlaku di kawasan terbabit.

Sementara itu, jurucakap Tenaga Nasional Bhd (TNB) Pasir Gudang yang dihubungi berkata, pihaknya akan membuat siasatan terlebih dulu ke kawasan terbabit sebelum mengambil sebarang tindakan kerana ia membabitkan soal keselamatan penduduk.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Diancamkilat_petir/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan