FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Isnin, 11 Mei 2015

Kanak-kanak maut ditusuk dahan pokok rhu dipanah petir



Kanak-kanak maut ditusuk dahan pokok rhu dipanah petir
11 Mei 2015 4:18 AM

ALOR GAJAH 10 Mei – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital selepas bahagian belakang kepala dan tengkuknya ditusuk dahan pokok rhu yang patah akibat dipanah petir di sebuah calet di Pengkalan Balak, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, kanak-kanak terbabit, Muhammad Shahir Putra Mohd. Shahril Nizri berada di beranda calet bersama kakaknya, Nursharina Alfishah, 7, sebelum rebah dalam longkang sejurus terkena dahan pokok.

Kanak-kanak berkenaan bersama ibu bapa dan kakaknya serta enam keluarga rakan bapanya dari Klang, Selangor tiba di Pengkalan Balak pada petang Sabtu lalu untuk bercuti hujung minggu dan bercadang mendaftar keluar pada pukul 12 tengah hari ini.

Ibu mangsa, Nadiah Jamaludin, 28, berkata, ketika kejadian anaknya itu sedang menunggu di hadapan calet untuk turun ke pantai bermandi-manda sebelum dia terdengar bunyi petir kuat dan bekalan elektrik terputus sebelum bertindak keluar dari bilik.

“Saya dan suami, Mohd. Shahril Nizri Mohd. Shoif, 30, sedang bersiap dalam calet sementara anak-anak di luar dan saya dengar bunyi petir kuat disusuli bunyi dahan patah, saya bergegas keluar bilik dan pada masa sama anak sulung berlari ke arah saya.

“Saya tersentak apabila melihat arwah sudah rebah dalam longkang depan bilik dengan keadaan kepala berlumuran darah, saya panggil suami dan cuba beri bantuan melalui pernafasan kepada arwah dan ketika itu arwah masih bernyawa,” katanya kepada pemberita di Hospital Alor Gajah.

Katanya, tanpa menunggu ambulans, dia dan suami bertindak membawa sendiri arwah ke Hospital Kem Terendak untuk mendapatkan rawatan namun menyedari anaknya mula terdiam kaku ketika di pangkuannya sebelum sempat tiba di hospital.

“Semasa dalam perjalanan saya dengar nafas arwah, namun terdiam tak lama kemudian dan ketika itu saya dapat rasakan arwah sudah tiada, Allah saja yang tahu betapa luluh hati, anak meninggal dunia di pangkuan saya,” katanya.

Menceritakan perubahan sikap arwah, Nadiah berkata, arwah yang merupakan anak bongsu dari dua beradik itu kelihatan sangat teruja untuk bermandi di pantai malah terjaga lebih awal dan mengejutkannya pada pagi sebelum kejadian itu.

“Tiada apa yang terlalu aneh pada sikap arwah kerana arwah seorang anak yang manja dengan semua ahli keluarga namun pagi sebelum kejadian, arwah yang terjaga lebih awal daripada kami yang lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Muhammad Ismail Muhammad Yusuf, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mayat dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 4, Klang, Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan