Kanak-kanak maut ditusuk dahan pokok rhu dipanah petir
11 Mei 2015 4:18 AM
ALOR GAJAH 10 Mei – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima
tahun meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital selepas bahagian belakang
kepala dan tengkuknya ditusuk dahan pokok rhu yang patah akibat dipanah petir
di sebuah calet di Pengkalan Balak, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, kanak-kanak
terbabit, Muhammad Shahir Putra Mohd. Shahril Nizri berada di beranda calet
bersama kakaknya, Nursharina Alfishah, 7, sebelum rebah dalam longkang sejurus
terkena dahan pokok.
Kanak-kanak berkenaan bersama ibu bapa dan kakaknya serta
enam keluarga rakan bapanya dari Klang, Selangor tiba di Pengkalan Balak pada
petang Sabtu lalu untuk bercuti hujung minggu dan bercadang mendaftar keluar
pada pukul 12 tengah hari ini.
Ibu mangsa, Nadiah Jamaludin, 28, berkata, ketika kejadian
anaknya itu sedang menunggu di hadapan calet untuk turun ke pantai
bermandi-manda sebelum dia terdengar bunyi petir kuat dan bekalan elektrik
terputus sebelum bertindak keluar dari bilik.
“Saya dan suami, Mohd. Shahril Nizri Mohd. Shoif, 30, sedang
bersiap dalam calet sementara anak-anak di luar dan saya dengar bunyi petir
kuat disusuli bunyi dahan patah, saya bergegas keluar bilik dan pada masa sama
anak sulung berlari ke arah saya.
“Saya tersentak apabila melihat arwah sudah rebah dalam
longkang depan bilik dengan keadaan kepala berlumuran darah, saya panggil suami
dan cuba beri bantuan melalui pernafasan kepada arwah dan ketika itu arwah
masih bernyawa,” katanya kepada pemberita di Hospital Alor Gajah.
Katanya, tanpa menunggu ambulans, dia dan suami bertindak
membawa sendiri arwah ke Hospital Kem Terendak untuk mendapatkan rawatan namun
menyedari anaknya mula terdiam kaku ketika di pangkuannya sebelum sempat tiba
di hospital.
“Semasa dalam perjalanan saya dengar nafas arwah, namun
terdiam tak lama kemudian dan ketika itu saya dapat rasakan arwah sudah tiada,
Allah saja yang tahu betapa luluh hati, anak meninggal dunia di pangkuan saya,”
katanya.
Menceritakan perubahan sikap arwah, Nadiah berkata, arwah yang
merupakan anak bongsu dari dua beradik itu kelihatan sangat teruja untuk
bermandi di pantai malah terjaga lebih awal dan mengejutkannya pada pagi
sebelum kejadian itu.
“Tiada apa yang terlalu aneh pada sikap arwah kerana arwah
seorang anak yang manja dengan semua ahli keluarga namun pagi sebelum kejadian,
arwah yang terjaga lebih awal daripada kami yang lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden
Muhammad Ismail Muhammad Yusuf, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes
diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Katanya, mayat dituntut keluarga untuk dikebumikan di Tanah
Perkuburan Islam Batu 4, Klang, Selangor.