FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Isnin, 13 April 2015

Maut, baju terbakar dipanah petir




Maut, baju terbakar dipanah petir
12 April 2015

BATU KAWAN - Siapa sangka, niat berlindung daripada hujan lebat bertukar menjadi tragedi hitam apabila dua lelaki maut dan lima lagi cedera dengan seorang daripadanya kritikal selepas dipanah petir di Ladang Batu Kawan di sini, petang kelmarin.

Seorang mangsa yang terselamat, S Elavalagan, 45, berkata ketika kejadian dia bersama enam rakannya berlindung daripada hujan lebat di kuil yang masih dalam pembinaan itu.

“Tiba-tiba saya dengar bunyi petir yang sangat kuat sebelum terasa seperti terkena renjatan elektrik dan terkaku beberapa saat.

“Saya rasa seluruh badan kebas beberapa saat sebelum terdengar suara orang minta tolong dan melihat semua rakan-rakan rebah,” katanya yang ditemui di Kampung Ladang Batu Kawan, di sini, semalam.

Beliau berkata, dia segera berlari ke arah rakan-rakannya untuk memberikan bantuan sebelum menghubungi kenalan lain di kampung berhampiran dam ambulans.
“Saya lihat badan kawan saya melecur dan bajunya terbakar serta bau hangit,” katanya.

Elavalagan berkata, detik hitam berlaku secara pantas ketika mereka bertujuh sedang berlindung daripada hujan lebat.

“Kami datang ke kuil untuk melihat projek naik taraf kuil dan hujan lebat menyebabkan kami ambil keputusan untuk tumpang berteduh.

“Saya berdiri di tengah-tengah dan tiga rakan di bahagian sebelah kiri manakala tiga rakan lagi di sebelah kanan saya,” katanya.

Dalam kejadian jam 7 petang kelmarin, dua rakannya maut manakala empat lagi cedera dengan salah seorang daripadanya dilaporkan kritikal selepas disambar petir.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai N Arumugam, 42, dan V Sivaperumal, 56, manakala yang cedera, S Gunasegaran, 44, S Muruges, 44, S Ananthan, 40, dan M Mutukumar, 32.

Dalam pada itu, anak sulung kepada Sivaperumal, S Khativaran, 33, berkata, sebelum kejadian, ketujuh-tujuh mangsa itu menghadiri majlis pengebumian seorang rakan mereka di Batu Kawan.

“Kali terakhir saya berjumpa bapa di majlis pengebumian itu dan tiada yang pelik pada kelakuannya,” katanya.

Menurutnya, bapanya ada memberitahunya mahu melihat kuil yang masih dalam proses naik taraf dan dia tidak menyangka itu adalah kali terakhir mereka berbual.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintendan Shariffudin Abdullah mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Menurutnya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB).

“Dua mangsa yang meninggal dunia sudah dituntut keluarga, seorang dilaporkan kritikal manakala tiga lagi stabil,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan