Kubah masjid disambar petir
7 April 2015
GEMENCHEH – Penduduk Felda Bukit Jalor, di sini gempar
apabila kubah Masjid Kariah Felda Bukit Jalor disambar petir dalam kejadian
hujan lebat berserta petir, petang kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK) Felda Bukit Jalor, Rosli Baharudin berkata, kejadian berkenaan berlaku
selepas solat Asar kira-kira jam 5 petang.
"Sebelum kejadian seorang siak, Roslan Deresa, berada
di dalam masjid sedang melakukan kerja-kerja pembersihan dan tiba-tiba bekalan
elektrik terputus.
“Sejurus selepas elektrik tiada, kubah masjid disambar petir
menyebabkan serpihan kubah itu tercampak ke atas jalan," katanya ketika
ditemui Sinar Harian, di sini.
Rosli berkata, kejadian tersebut kali pertama berlaku
selepas masjid berkenaan didirikan sejak 1970-an.
"Kubah di masjid ini tidak pernah diganti baru sejak
dibina dan penduduk serta jawatankuasa masjid dari masa ke masa sering
membersihkan dan mengecatnya supaya kelihatan baru dan bahagian bawah kubah
menempatkan suis utama bagi bekalan elektrik masjid," katanya.
Rosli berkata, berikutan itu, ahli jawatankuasa masjid
diminta untuk membuat permohonan bantuan baik pulih kerosakan kubah berkenaan
yang dianggarkan bernilai RM20,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan