FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Jumaat, 10 April 2015

Gurauan manja sebelum dipanah petir



Gurauan manja sebelum dipanah petir

Yan: Seorang isteri tidak menyangka gurauan manja suaminya meminta dipeluk dengan erat ketika mereka bersama-sama menaiki motosikal menuju ke rumah saudara menjadi gurauan terakhir apabila lelaki itu meninggal dunia akibat dipanah petir di pesisir Tanjung Jaga, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam, nelayan, Anuar Hassan, 39, dipercayai meninggal dunia akibat mengalami renjatan selepas tubuhnya disambar petir ketika menangkap udang bersama beberapa rakannya dengan menaiki bot di kawasan berkenaan.

Isterinya, Norizah Mansor, 37, dari Kampung Keda Sungai Udang, di sini, berkata, pada petang sebelum kejadian, dia bersama suaminya menunggang motosikal untuk ke rumah saudara di Yan dan arwah sempat bergurau sambil meminta memeluknya dengan erat kerana mungkin tidak akan berpeluang berbuat demikian selepas ini.

Katanya, walaupun berasa janggal dengan gurauan suaminya, namun dia langsung tidak mengesyaki sesuatu yang buruk akan berlaku dan hanya menganggapnya sebagai gurauan biasa daripada suami.

“Saya ada nampak beberapa perubahan pada diri suami sejak seminggu lalu termasuk dia tidak berselera untuk makan di rumah dan sering pulang ke rumah ibunya yang terletak berhampiran untuk makan di sana dengan alasan rindu masakan ibunya.

“Memang dalam tempoh seminggu ini, dia tidak makan masakan saya dan hanya makan di rumah ibunya sahaja selain sering menghantar SMS dengan ayat-ayat romantik dan bergurau manja dengan saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, berita kematian mengejut suaminya itu amat menyedihkan, namun dia tetap reda dengan ketentuan Ilahi.

Sementara itu, rakan mangsa, Nadzri Nawawi, 53, berkata, ketika kejadian dia dan Anuar sedang berada di atas bot yang sama manakala rakan lain berada di atas bot berlainan.

Katanya, mereka mula turun ke laut pada jam 8 malam sebelum memukat udang dan tiba-tiba keadaan cuaca berubah menjadi buruk lalu mereka mengambil keputusan mencari tempat berteduh.

“Ketika itu hujan lebat disertai dengan angin dan kilat menyebabkan kami mengambil keputusan untuk mematikan enjin bot lalu mencari plastik bagi menutup kepala daripada terkena hujan.

“Anuar kemudian membuka satu plastik besar dan memanggil saya untuk berteduh di bawah plastik itu bersamanya. Saya ketika itu berada dalam jarak dua meter daripadanya cuba bangun untuk berteduh di bawah plastik sama, namun secara tiba-tiba satu cahaya terang menyuluh seperti ‘flash’ kamera menyebabkan saya terduduk seketika,” katanya.

Menurutnya, sebaik cahaya itu hilang, dia melihat rakannya sudah rebah dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu segera mendekatinya untuk memberi bantuan penafasan, namun tiada tindak balas menyebabkannya memanggil rakan-rakan yang lain untuk membawa mangsa pulang ke darat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Nek Zaidi Zakaria ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 8:10 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan