FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Jumaat, 24 April 2015

Dua Maut Dipanah Petir Ketika Cari Madu



Dua Maut Dipanah Petir Ketika Cari Madu
Khamis, 23 April 2015 11:43 PM

JASIN: Dua maut manakala dua lagi cedera dipercayai akibat dipanah petir ketika mencari mereka madu kelulut di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Taman Muhibbah Merlimau di sini petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kedua-dua mangsa Shahrul Nazrin Roslan, 24, dan Zul Effendi Abdullah, 23, meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 4 petang.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat.

Manakala dua mangsa yang cedera iaitu Mohd Saad Md Rasul, 40, dan Shahnor Hafizi Shahmat, 26, dihantar ke Hospital Melaka.

"Ketika kejadian hujan lebat turun bersama angin kencang serta petir. Mangsa keluar pada pukul 3.30 petang untuk mencari madu bersama bapa saudara mereka (bapa saudara Shahrul Nazrin dan Zul Effendi) serta adik lelaki Zul Effendi," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya, bapa saudara mangsa iaitu Nor Azman Bujang, 48, terlebih dahulu pulang ke rumah sebelum kejadian dan dimaklumkan tentang kejadian oleh adik lelaki Zul Effendi iaitu Mohd Nordin Azman, 11.

Sementara itu, Nor Azman berkata beliau dimaklumkan kejadian itu oleh Mohd Nordin sebaik tiba di rumahnya di Jalan Paya Lengkung, Merlimau kira-kira 4.45 petang.

"Pada mulanya saya mengajak Mohd Nordin untuk pulang ke rumah kerana cuaca hampir hujan tetapi beliau minta saya balik dulu kerana dia hendak mencari madu bersama yang lain. Selepas hujan berhenti dia balik dan maklumkan mereka (mangsa) dipanah petir," katanya.

Beliau kemudian bergegas ke tempat kejadian dan melihat dari jauh semua mangsa telah terbaring dan mendapati Shahrul Nazrin serta Zul Effendi tidak lagi bernyawa.

Katanya, kedua-dua anak saudaranya itu tiada pekerjaan tetap dan hanya bergantung kepada upah melakukan kerja kampung termasuk mencari madu kelulut.

Isnin, 13 April 2015

Maut, baju terbakar dipanah petir




Maut, baju terbakar dipanah petir
12 April 2015

BATU KAWAN - Siapa sangka, niat berlindung daripada hujan lebat bertukar menjadi tragedi hitam apabila dua lelaki maut dan lima lagi cedera dengan seorang daripadanya kritikal selepas dipanah petir di Ladang Batu Kawan di sini, petang kelmarin.

Seorang mangsa yang terselamat, S Elavalagan, 45, berkata ketika kejadian dia bersama enam rakannya berlindung daripada hujan lebat di kuil yang masih dalam pembinaan itu.

“Tiba-tiba saya dengar bunyi petir yang sangat kuat sebelum terasa seperti terkena renjatan elektrik dan terkaku beberapa saat.

“Saya rasa seluruh badan kebas beberapa saat sebelum terdengar suara orang minta tolong dan melihat semua rakan-rakan rebah,” katanya yang ditemui di Kampung Ladang Batu Kawan, di sini, semalam.

Beliau berkata, dia segera berlari ke arah rakan-rakannya untuk memberikan bantuan sebelum menghubungi kenalan lain di kampung berhampiran dam ambulans.
“Saya lihat badan kawan saya melecur dan bajunya terbakar serta bau hangit,” katanya.

Elavalagan berkata, detik hitam berlaku secara pantas ketika mereka bertujuh sedang berlindung daripada hujan lebat.

“Kami datang ke kuil untuk melihat projek naik taraf kuil dan hujan lebat menyebabkan kami ambil keputusan untuk tumpang berteduh.

“Saya berdiri di tengah-tengah dan tiga rakan di bahagian sebelah kiri manakala tiga rakan lagi di sebelah kanan saya,” katanya.

Dalam kejadian jam 7 petang kelmarin, dua rakannya maut manakala empat lagi cedera dengan salah seorang daripadanya dilaporkan kritikal selepas disambar petir.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai N Arumugam, 42, dan V Sivaperumal, 56, manakala yang cedera, S Gunasegaran, 44, S Muruges, 44, S Ananthan, 40, dan M Mutukumar, 32.

Dalam pada itu, anak sulung kepada Sivaperumal, S Khativaran, 33, berkata, sebelum kejadian, ketujuh-tujuh mangsa itu menghadiri majlis pengebumian seorang rakan mereka di Batu Kawan.

“Kali terakhir saya berjumpa bapa di majlis pengebumian itu dan tiada yang pelik pada kelakuannya,” katanya.

Menurutnya, bapanya ada memberitahunya mahu melihat kuil yang masih dalam proses naik taraf dan dia tidak menyangka itu adalah kali terakhir mereka berbual.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintendan Shariffudin Abdullah mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Menurutnya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB).

“Dua mangsa yang meninggal dunia sudah dituntut keluarga, seorang dilaporkan kritikal manakala tiga lagi stabil,” katanya.

Jumaat, 10 April 2015

Gurauan manja sebelum dipanah petir



Gurauan manja sebelum dipanah petir

Yan: Seorang isteri tidak menyangka gurauan manja suaminya meminta dipeluk dengan erat ketika mereka bersama-sama menaiki motosikal menuju ke rumah saudara menjadi gurauan terakhir apabila lelaki itu meninggal dunia akibat dipanah petir di pesisir Tanjung Jaga, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam, nelayan, Anuar Hassan, 39, dipercayai meninggal dunia akibat mengalami renjatan selepas tubuhnya disambar petir ketika menangkap udang bersama beberapa rakannya dengan menaiki bot di kawasan berkenaan.

Isterinya, Norizah Mansor, 37, dari Kampung Keda Sungai Udang, di sini, berkata, pada petang sebelum kejadian, dia bersama suaminya menunggang motosikal untuk ke rumah saudara di Yan dan arwah sempat bergurau sambil meminta memeluknya dengan erat kerana mungkin tidak akan berpeluang berbuat demikian selepas ini.

Katanya, walaupun berasa janggal dengan gurauan suaminya, namun dia langsung tidak mengesyaki sesuatu yang buruk akan berlaku dan hanya menganggapnya sebagai gurauan biasa daripada suami.

“Saya ada nampak beberapa perubahan pada diri suami sejak seminggu lalu termasuk dia tidak berselera untuk makan di rumah dan sering pulang ke rumah ibunya yang terletak berhampiran untuk makan di sana dengan alasan rindu masakan ibunya.

“Memang dalam tempoh seminggu ini, dia tidak makan masakan saya dan hanya makan di rumah ibunya sahaja selain sering menghantar SMS dengan ayat-ayat romantik dan bergurau manja dengan saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, berita kematian mengejut suaminya itu amat menyedihkan, namun dia tetap reda dengan ketentuan Ilahi.

Sementara itu, rakan mangsa, Nadzri Nawawi, 53, berkata, ketika kejadian dia dan Anuar sedang berada di atas bot yang sama manakala rakan lain berada di atas bot berlainan.

Katanya, mereka mula turun ke laut pada jam 8 malam sebelum memukat udang dan tiba-tiba keadaan cuaca berubah menjadi buruk lalu mereka mengambil keputusan mencari tempat berteduh.

“Ketika itu hujan lebat disertai dengan angin dan kilat menyebabkan kami mengambil keputusan untuk mematikan enjin bot lalu mencari plastik bagi menutup kepala daripada terkena hujan.

“Anuar kemudian membuka satu plastik besar dan memanggil saya untuk berteduh di bawah plastik itu bersamanya. Saya ketika itu berada dalam jarak dua meter daripadanya cuba bangun untuk berteduh di bawah plastik sama, namun secara tiba-tiba satu cahaya terang menyuluh seperti ‘flash’ kamera menyebabkan saya terduduk seketika,” katanya.

Menurutnya, sebaik cahaya itu hilang, dia melihat rakannya sudah rebah dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu segera mendekatinya untuk memberi bantuan penafasan, namun tiada tindak balas menyebabkannya memanggil rakan-rakan yang lain untuk membawa mangsa pulang ke darat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Nek Zaidi Zakaria ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2015 @ 8:10 AM

Selasa, 7 April 2015

Kubah masjid disambar petir



Kubah masjid disambar petir
7 April 2015

GEMENCHEH – Penduduk Felda Bukit Jalor, di sini gempar apabila kubah Masjid Kariah Felda Bukit Jalor disambar petir dalam kejadian hujan lebat berserta petir, petang kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Jalor, Rosli Baharudin berkata, kejadian berkenaan berlaku selepas solat Asar kira-kira jam 5 petang.

"Sebelum kejadian seorang siak, Roslan Deresa, berada di dalam masjid sedang melakukan kerja-kerja pembersihan dan tiba-tiba bekalan elektrik terputus.

“Sejurus selepas elektrik tiada, kubah masjid disambar petir menyebabkan serpihan kubah itu tercampak ke atas jalan," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Rosli berkata, kejadian tersebut kali pertama berlaku selepas masjid berkenaan didirikan sejak 1970-an.

"Kubah di masjid ini tidak pernah diganti baru sejak dibina dan penduduk serta jawatankuasa masjid dari masa ke masa sering membersihkan dan mengecatnya supaya kelihatan baru dan bahagian bawah kubah menempatkan suis utama bagi bekalan elektrik masjid," katanya.

Rosli berkata, berikutan itu, ahli jawatankuasa masjid diminta untuk membuat permohonan bantuan baik pulih kerosakan kubah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM20,000.