FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Jumaat, 14 November 2014

Badan berasap pakaian terbakar




Badan berasap pakaian terbakar

Johor Bahru: "Mungkin disebabkan besi pada pen dalam poket baju manakala tangannya sedang memegang penghadang besi, menyebabkan dia disambar petir," kata pengawal keselamatan M Suseelan, 43, rakan setugas lelaki yang maut dipanah petir di sebuah sekolah di Pasir Gudang, petang kelmarin.

Suseelan yang mula mengenali mangsa, Abdullah Basara, 57, sejak tiga bulan lalu, berkata mangsa keluar dari pondok pengawal kira-kira jam 3.15 petang untuk membuka pagar dengan penghadang besi bagi memberi laluan kepada kereta seorang guru keluar dari kawasan sekolah.

"Selepas itu, ada dua lagi kereta menuju ke arah pintu pagar dan Abang Dollah (Abdullah) menunggu kereta itu sambil memegang pagar besi berkenaan.

"Ketika itu cuaca mendung dengan petir. Tiba-tiba angin bertiup kencang diikuti dentuman kuat," katanya.

Menurut Suseelan, dia terdengar bunyi bising suara penuntut sebuah universiti berdekatan sejurus dentuman kuat itu, dipercayai mereka ternampak mangsa dipanah petir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:17 AM

Khamis, 13 November 2014

Maut dipanah petir di sekolah





Maut dipanah petir di sekolah

Johor Bahru: Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah maut dipanah petir ketika berada di pagar pintu masuk sekolah di Pasir Gudang itu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, mangsa yang berusia 57 tahun difahamkan maut di tempat kejadian sejurus terkena panahan petir yang tepat pada tubuhnya ketika cuaca mendung dan kilat sabung-menyabung.

Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Sabah itu sedang membuka pintu pagar sekolah bagi memberi laluan kepada kereta seorang guru yang ingin pulang selepas tamat sesi persekolahan.

Bagaimanapun, katanya mangsa tiba-tiba rebah sebelum didapati meninggal dunia dipercayai akibat terkena panahan petir.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam Deputi Superintendan Norazam Shaari yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Menurutnya, mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014

Jumaat, 31 Oktober 2014

Ajal dipanah petir




Jasin: Seorang nelayan maut disambar petir dalam kejadian kira-kira dua batu nautika dari Jeti Kuala Merlimau, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, mangsa Hashim Bakar, 54, dikatakan sedang menarik jaring ikan.

Seorang rakan yang ada bersama mangsa di dalam perahu berkenaan tidak mengalami kecederaan dan berjaya membawa mangsa ke jeti.

Isteri mangsa, Nuli Sawi, 48, berkata, suaminya keluar rumah pada jam 5 petang bersama seorang rakan untuk menangkap ikan sebelum kejadian berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 12:33 PM

Jumaat, 17 Oktober 2014

Dipanah petir di Taman Tasik Titiwangsa



Dipanah petir di Taman Tasik Titiwangsa
17 Okt 2014

Kuala Lumpur: Seorang lelaki berusia 52 tahun maut selepas dipanah petir ketika sedang berjoging di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu mangsa dikatakan sedang melalui jalan berhampiran pintu belakang Pusat Latihan Polis Jalan Semarak di taman tasik itu sebelum satu dentuman kuat menyambar sebatang pokok yang kemudian terkena mangsa.

"Mangsa sedang berlari di laluan itu sebelum petir menyambar. Sambaran petir itu turut mengakibatkan laluan joging itu pecah dan berlubang," kata sumber.

Menurut sumber itu, akibat kejadian berkenaan mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Sumber memberitahu pihak berkuasa dan keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan siasatan lanjut masih diteruskan.






Isnin, 4 Ogos 2014

Gumpalan api terbang dari langit


Gumpalan api terbang dari langit
3 Ogos 2014

PASIR PUTEH – Empat keluarga di Taman Perumahan Kampung Surau dekat sini masing-masing kerugian berpuluh ribu ringgit apabila keseluruhan barangan elektrik di rumah mereka meletup dan terbakar dalam sekelip mata dalam kejadian disambar petir di kampung itu malam kelmarin.

Seorang penduduk, Idris Ismail, 43, berkata, dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, beberapa penduduk di taman perumahan itu melihat gumpalan air dari langit sebesar lori 25 tan sebelum menyambar sebatang pokok kelapa berhampiran rumah mereka.

Menurutnya, panahan petir dan api besar ‘terbang’ yang belum pernah dilihat sebelum ini, diikuti dengan bunyi dentuman kuat seperti ledakan bom lalu menyebabkan semua barangan elektrik di rumah penduduk berasap dan berbau hangit.

“Seramai 20 penghuni melibatkan empat keluarga terpaksa bergelap apabila bekalan elektrik turut terputus. Kebanyakan penduduka berada di dalam rumah kerana khuatir keselamatan diri mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian dekat sini semalam.


Isnin, 26 Mei 2014

Rumah terbakar dipanah petir




Rumah terbakar dipanah petir
26 Mei 2014

KUALA PILAH – “Habis semua barang peninggalan arwah isteri," luah Maarif Ahmad, 72, yang sedih selepas mendapati barang seperti pinggan mangkuk antik berbunga kangkung hangus dalam kebakaran di Kampung Masjid, dekat sini malam kelmarin.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada panahan petir berikutan ia berlaku ketika hujan lebat.

Menurut Maarif, waktu kejadian, dia tiada di rumah kerana pergi ke Seremban bersama menantunya menziarah cucu baru dilahirkan.

Bagaimanapun, katanya, dia mendapat panggilan kira-kira 7.30 malam, ketika itu sudah berada di rumah ibunya Kampung Tanjung Beringin dekat sini.

“Kami semua sudah pulang dari Seremban, tapi singgah sekejap di rumah emak pakcik di Kampung Tanjung Beringin.

“Dalam sedap berbual, saya terkejut dengan panggilan kecemasan dari jiran menyatakan rumah saya terbakar.

"Saya terus balik bersama menantu (Syarifful Rizal Zainin, 37) dan setibanya di rumah, keadaan api sedang marak disebabkan bahagian diperbuat daripada kayu, manakala bahagian ruang tamu dinding batu,”  katanya yang reda dengan kejadian tersebut.

Maarif berkata, rumahnya yang berusia 20 tahun hangus seratus peratus tanpa berjaya menyelamatkan perkakas rumah termasuk dokumen penting.

“Saya sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana semua barang-barang termasuk pakaian hangus dijilat api.

“Kerugian dianggarkan bernilai RM60,000. Walaupun rumah sudah tiada, tetapi saya sekeluarga bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya akan menumpang sementara di rumah ibunya di Kampung Tanjung Beringin.

Sementara itu, Syarifful berkata, kira-kira 6.30 petang kelmarin, dia pulang ke rumah untuk memberi makanan kepada ternakan dan keluar semula.

“Waktu itu, keadaan rumah masih elok dan tidak menyangka perkara buruk akan menimpa kami. Jiran ada maklumkan, waktu kejadian hujan lebat sekali dengan petir.

“Bila dentuman petir, tidak lama kemudian, jiran mendapati rumah saya telah terbakar dan dipercayai berpunca dari kawasan dapur,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Jaafar Yusof berkata, sebuah jentera membabitkan enam anggota bomba dan penyelamat berjaya mengawal kebakaran api dari merebak ke rumah mesra rakyat itu, yang jarak hanya 10 meter sahaja.

“Ketika bomba tiba di tempat kejadian, api sudah marak dengan 80 peratus. Kita mengalami kesulitan melakukan kerja-kerja pemadaman api berikutan kampung itu tiada sumber air dan pili bomba.

“Bagaimanapun api berjaya dipadam dalam tempoh 30 minit,” katanya sambil memberitahu punca kejadian masih dalam siasatan.