6 Julai 2013
HULU BESUT - Sekurang-kurangnya
sembilan rumah di Kampung Dusun Beliku, Jalan Air Panas La, dekat
Kampung La di sini, mengalami kerosakan akibat disambar petir dalam
kejadian, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 5 petang ketika
hujan lebat itu menyebabkan rumah, pendawaian dan peralatan elektrik
rosak, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Salah seorang mangsa, Ghani Samad, 65,
berkata, kesemua rumah terbabit disambar serentak selepas berlaku
petir kuat.
Menurutnya, ketika kejadian, dia
bersama isteri Zaharah Mohd Saman, 65, sedang duduk di bahagian
tengah rumah dikejutkan dengan kedengaran petir diikuti letupan kuat
di bahagian depan rumahnya.
“Bunyi petir serta dentuman sangat
kuat sehingga menggegarkan rumah menyebabkan isteri saya terkejut dan
terkedu. Petir turut menyambar wayar pendawaian di dalam rumah dan
kotak fius elektrik manakala penjuru dinding bata rumah berlubang.
“Bahagian bumbung sebuah pondok yang
terletak berhampiran rumah turut roboh terkena panahan petir itu,”
katanya yang bersyukur kerana terselamat.
Lihat bebola api sebesar bola sepak
Sementara itu, seorang lagi mangsa,
Zakaria Mohamad, 40, berkata, dia melihat petir seperti bebola api
jatuh berhampiran rumah Ghani yang terletak kira-kira 350 meter dari
rumahnya.
Menurutnya, ketika itu dia berada di
muka pintu rumahnya dan terkejut apabila mendengar petir sangat kuat
diikuti bebola api sebesar bola sepak di kawasan rumah jirannya itu.
“Ia sangat cerah dan cepat. Kejadian
itu menyebabkan perkakas elektrik di rumahnya seperti televisyen dan
siaran Astro turut mengalami kerosakan,” kata penoreh getah ini.
Sementara itu, menurut Hanapi Jusoh,
38, ketika kejadian, dia berada di kedai runcitnya terkejut apabila
terdengar bunyi dentuman petir luar biasa, lalu bergegas pulang ke
rumah yang terletak 400 meter dari kedai runcitnya.
Menurut Hanapi, dia bergegas pulang
kerana bimbangkan keadaan isteri serta anak-anaknya di rumah ketika
itu dan mendapati peralatan elektrik seperti televisyen dan lampu
turut rosak.
"Turut menerima nasib sama ialah
rumah ibu bapa, kakak, adik dan tiga lagi rumah penduduk kampung yang
terletak dalam kawasan satu kilometer persegi itu.
“Sejak saya dilahirkan dan dibesarkan
di sini, inilah kali pertama kejadian petir luar biasa berlaku
menyebabkan banyak rumah rosak,” katanya.
Hanapi berkata lagi, akibat kejadian
itu kesemua mangsa fobia setiap kali berlaku hujan lebat berserta
dengan petir.
Selain kerosakan rumah dan peralatan
elektrik, beberapa pokok buah-buahan seperti durian dan petai turut
terkena petir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan