24 Mac 2013
KEPALA BATAS - Selepas melihat
keadaannya terlantar koma menerima rawatan akibat dipanah petir di
tiga hospital berlainan, tiada siapa menyangka Aimi Nassyatul Husna
Zulkeffli, 20, akan sembuh dan dapat meneruskan kehidupannya semula.
Malah bapanya, Zulkeffli Bakar, 53;
ibu, Norlela Ahmad, 48, serta lima beradiknya yang lain tidak menaruh
harapan besar sebaliknya hanya berserah dan sedia menerima hakikat
bakal kehilangan seorang ahli keluarga mereka selepas insiden itu.
Namun kuasa ALLAH SWT tiada siapa dapat
menyangka apabila dia kini beransur sembuh selepas dipanah petir
dalam kejadian pertengahan Februari lalu.
“Ini bukan sahaja tanda kebesaran
ALLAH tapi sebagai bukti keajaiban kekuasaan-Nya. Bagaikan mati hidup
semula.
“Kondisi sama dialami saya seperti
mangsa panahan petir lain tetapi bezanya saya diberikan kesempatan
untuk hidup berbanding mereka,” katanya.
Aimi Nassyatul Husna yang mesra
dipanggil Kak Cik ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Pak Elong
di sini dilihat masih terkejut dengan kejadian yang berlaku.
Dia dibenarkan keluar dari Hospital
Besar Pulau Pinang (HBPP) 15 Mac lalu selepas sebulan mendapat
rawatan kerana terbakar di sebahagian besar badan selepas insiden
itu.
Sebelum itu, dia menerima rawatan di
Hospital Kepala Batas (HKB) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Lebih mengujakan, dia sedar dari koma
sama pada masa, hari serta tarikh kejadian dan hanya berbeza bulan
membuatkan anak keempat dari enam beradik itu menganggap ini satu
keajaiban buat dirinya.
Bagaimanapun dia tidak dapat
menceritakan kejadian itu semula kerana gagal mengingatinya dan hanya
memaklumkan yang dia terjatuh motosikal sebelum ‘tidur panjang’
selepas itu.
Kejadian itu berlaku pada jam 5.30
petang, 15 Februari lalu ketika Aimi Nassyatul Husna dalam perjalanan
pulang ke rumahnya selepas menghadiri satu temu duga kerja di sebuah
kedai di Kepala Batas sebelumnya.
Ketika kejadian, dia menunggang
motosikal berseorangan dan melalui jalan ban bertar kawasan sawah
padi yang jarak lebih kurang 200 meter dari rumahnya.
Gadis periang itu ditemui oleh penduduk
kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dihantar mendapatkan
rawatan ke HKB oleh keluarganya sebelum dirujuk ke HSJ dan HBPP
kemudiannya.
Sementara itu, kakaknya, Aimi Syafinaz,
24, berkata, sejak kejadian itu, adiknya dikesan mengalami masalah
saraf apabila gagal mengingati kejadian itu.
“Saya merupakan orang pertama sampai
ke lokasi kejadian di jalan ban selepas mengetahui Kak Cik dipanah
petir melalui makluman jiran sekampung.
“Ketika kali pertama melihatnya, saya
menangis kerana keadaannya terlalu teruk apabila sebahagian besar
anggota badan sebelah kirinya terbakar,” katanya.
Menurutnya, dia juga yang mengutip
pakaian dan tudung adiknya yang terbakar, mengutip beg sandangnya
yang putus dan membawa pulang topi keledar yang rosak teruk akibat
dipanah petir selepas kejadian itu.
“Walau dalam hati mengharapkan Kak
Cik sedar namun melihat keadaannya yang cedera teruk termasuk
mengalami putus sebahagian telinga kiri, pipinya berlubang dan luka
lain di badannya, saya hanya berserah pada tuhan akan nasibnya.
“Namun kebesaran tuhan tiada siapa
tahu kerana kini Kak Cik hampir sembuh dan dapat kembali hidup
bersama kami,” katanya.
Ibunya, Norlela berkata, sebelum
kejadian menimpa anaknya itu, dia berasa tidak sedap hati setiap kali
hari hujan, guruh berdentum dan petir sabung menyabung kerana
merasakan seorang ahli keluarganya akan menjadi mangsa panahan petir.
“Saya tidak memaklumkan kepada
sesiapa kerana menganggap itu semua mainan perasaan semata-mata
tetapi terkejut apabila akhirnya anak sendiri yang menjadi mangsa.
“Lebih sedih selepas melihat
keadaannya yang terbakar teruk membuatkan saya mempercayai semua
mangsa dipanah petir akan meninggal dunia menjadikan saya sedih
sekali takut kehilangannya,” katanya.
Bagi Zulkeffli, dia bersyukur kerana
pada hari kejadian, tiga mangsa panahan petir lain turut dibawa
mendapat rawatan di HSJ tetapi kesemuanya meninggal dunia melainkan
anaknya seorang yang terselamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan