12 April 2013
SETIU - Seorang nelayan maut dipanah petir ketika memukat
ikan bersendirian di tengah laut berhampiran Pulau Lang Tengah, Penarik di
sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, Abd Wahab Sulong, 59, dari Kampung Baru,
Penarik meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan terbakar di badan,
lengan dan badan akibat dipanah petir.
Kejadian itu disedari kira-kira 20 nelayan lain yang turut
memukat ikan di sekitar kawasan berkenaan ketika kejadian malang itu berlaku.
Ketua Polis Daerah,
Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian dipercayai
ketika hujan lebat yang disusuli dengan dentuman petir.
Menurutnya, sebelum kejadian, rakan mangsa, Saiful Bahari
Abd Aziz, 33, yang berada kira-kira 500 meter dari mangsa terlihat kelibat Abd
Wahab sedang berdiri menarik pukat.
“Ketika itu hujan lebat berserta bunyi petir kuat dan sebaik
keadaan reda, kelibat mangsa tidak kelihatan lagi menyebabkan Saiful Bahari
pergi menghampiri perahu mangsa untuk memeriksa apa yang berlaku,” katanya.
Ab Rahman berkata, sebaik menghampiri perahu itu, mangsa
sudah terbaring dalam keadaan tidak bernyawa dengan kesan terbakar, manakala
serpihan kayu memenuhi badan mangsa.
Katanya, mangsa dipercayai dipanah petir yang menyambar
bingkai sauknya yang diperbuat dari besi.
Mangsa kemudiannya dibawa ke darat sebelum diserahkan kepada
polis kemudian dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan