2013/02/17 - 07:20:44 AM
Teluk Intan: Seorang pelajar Maahad
Tahfiz Al-Furqan, Taman Desa Bakti, di sini, maut manakala dua lagi
rakannya cedera akibat dipanah petir ketika bermain bola sepak di
padang permainan berdekatan sekolah mereka, petang semalam.
Ketika kejadian jam 5.20 petang,
kesemua mangsa sedang bermain bola sepak bersama lapan lagi rakan di
padang berkenaan.
Mohd Amir Alias, 15, berasal dari Taman
Bunga Raya, Tapah, dikatakan meninggal dunia sejurus selepas dibawa
ke surau berdekatan oleh rakannya.
Dua lagi yang cedera ialah Mohd Syafiq
Amirul Shamsudin, 14, dan Mohd Amin Asrin, 16.
Rakan mangsa, Safatri Nazir, 15,
berkata dia melihat mulut Amir berdarah manakala matanya terbuka
ketika membantu mengangkat rakannya itu ke surau berdekatan.
Saya sendiri sempat mengajarnya
mengucap dua kalimah syahadah tetapi dia tidak sedarkan diri.
Beberapa jemaah surau turut memeriksa nadi Amir dan mendapati arwah
sudah tidak bernyawa lagi, katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi rakan mangsa, Mohd Izzul
Mohd Mastan, 16, berkata mereka bermain bola sepak selepas solat Asar
dan ketika itu hujan agak lebat.
Lari ke surau
Sebaik petir menyambar, tiga rakan saya
termasuk Amir pengsan, manakala yang lain melarikan diri ke surau
berhampiran.
Selepas itu, pelajar serta penduduk
sekitar datang membantu dan semua rakan saya itu dikejarkan ke
Hospital Teluk Intan (HTI) untuk mendapatkan rawatan lanjut, katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis
Daerah Hilir Perak, Superintendan Muhammad Zaki Harun mengesahkan
mengenai kejadian itu.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia
mengalami cedera di muka serta tangan dan jenazahnya dihantar ke HTI
untuk bedah siasat.
Pelajar maut, dua lagi cedera dipanah
petir
17/02/2013 2:29am
TELUK INTAN - Seorang pelajar maut
manakala dua yang lain cedera akibat dipanah petir ketika sedang
bermain bola sepak di padang bola di Taman Desa Bakti, Jalan Kampung
Banjar di sini petang semalam.
Mohd. Amir Alias, 15, dari Tapah,
meninggal dunia selepas dibawa ke surau berdekatan manakala Mohd.
Amin Asrin, 16, dan Mohd. Shafiq Amirul Shamsuddin, 14, yang cedera,
menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
Kejadian berlaku pada kira-kira 5.20
petang ketika tiga pelajar itu bersama lapan lagi rakan bermain bola
sepak tidak jauh dari sekolah mereka iaitu Sekolah Maahad Tahfiz
Al-Furqan.
Pelajar yang maut dikatakan terkena
panahan petir serentak dengan dua rakannya.
Pengerusi Rukun Tetangga Taman Desa
Bakti Mohamad Darus, 54, berkata, selepas kejadian itu, mangsa dibawa
ke surau berdekatan sebelum didapati meninggal dunia.
"Apabila diperiksa, nadinya tidak
berdenyut lagi. Kejadian ini amat memeranjatkan dan tidak diduga sama
sekali,” katanya.
Seorang pelajar, Safatri Nazir, 15,
yang turut bermain bola, berkata dia mengangkat Mohd. Amir dan
mendapati mulut mangsa berdarah serta matanya terbuka ketika dibawa
ke surau.
"Saya dapati dia tidak bergerak
dan saya sempat mengajarnya mengucap,” katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan