FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Jumaat, 3 September 2010

Dakwa mati dipanah petir

Harian Metro 3 Sep 2010

CHUKAI: Gara-gara memasuki negara ini secara haram, beberapa pekerja asing dari Indonesia mengambil jalan singkat mengebumikan dua rakan senegara yang maut dipercayai akibat dipanah petir empat hari lalu tanpa mendapatkan permit pengebumian daripada pihak polis.

Namun, misteri kewujudan kubur dua buruh yang bekerja di ladang kelapa sawit di Bandar Cheneh Baru, di sini, yang menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk setempat itu kemudiannya dilaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, pihaknya mendapatkan perintah mahkamah untuk menggali semula dua kubur berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Felda Neram Satu, untuk siasatan kes pengebumian tanpa permit dan mengenal pasti punca kematian.

“Kita menggali semula dua kubur berkenaan untuk bedah siasat bagi mengetahui apakah punca sebenar kematian dua pendatang asing tanpa izin warga Indonesia berkenaan yang bekerja dan tinggal di rumah kongsi pekerja Ladang Felda Neram Satu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. Menurutnya, siasatan merangkumi pelbagai aspek terutama mengenal pasti pihak yang terbabit dengan pengebumian itu hingga membolehkan dua pendatang berkenaan dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam komuniti Felda di situ.

Tinjauan Harian Metro ke kawasan tanah perkuburan itu mendapati kerja menggali dua kubur berkenaan dimulakan sejak jam 3 petang kelmarin oleh sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan kedua-dua mayat dikeluarkan kira-kira dua jam kemudian sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan mangsa memberitahu, kematian dan pengebumian berkenaan tidak dilaporkan kepada polis kerana Parman Yuhaidi, 28, dan adik iparnya dikenali sebagai Sumarni, 17, masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan serta permit kerja sah.

Kedua-dua mereka dikatakan meninggal dunia selepas dipanah petir jam 12 tengah malam pada 30 Ogos lalu ketika berehat di rumah kongsi mereka di tengah ladang sawit berkenaan.

Ketika kejadian itu juga, seorang lagi mangsa dipercayai suami kepada Sumarni dikenali sebagai Supardi, 20, turut berada di tempat kejadian mengalami kecederaan serta melecur.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa yang ditemui mati itu tidak mempunyai sebarang kesan terbakar.

Bapa kepada Parman, Yuhaidi Abdul Wahab, 42, ketika ditemui berkata, pada malam kejadian, kilat sabung menyabung dan mereka dikejutkan dengan jeritan mangsa.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah kongsi itu, mereka terkejut melihat Parman dan Sumarni bergelimpangan kerana melecur teruk dan sudah tidak bernyawa.

Katanya, pekerja Indonesia dengan kerjasama penduduk kampung mengebumikan kedua-dua mangsa kira-kira jam 12 tengah hari keesokannya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dakwamatidipanahpetir/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan