Harian Metro 7 Sep 2010
SHAH ALAM: Seorang penternak lembu terpaksa menepuk dahi selepas dia kerugian kira-kira RM15,000 apabila tujuh lembunya mati dipercayai dipanah petir di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Ladang Bedford, Tanjung Sepat, dekat Sepang, semalam.
H Kanapiraan, 28, mendakwa kejadian itu berlaku jam 7.30 pagi apabila sekawan lembu miliknya yang meragut rumput tiba-tiba dipanah petir menyebabkan tujuh daripadanya mati serta-merta.
“Ketika itu saya berada kira-kira 500 meter dari tempat kejadian. Sebelum kejadian saya lihat satu cahaya memancar ke tempat lembu disusuli dentuman kuat.
“Apabila saya menghampiri tempat kejadian, tujuh lembu saya yang meragut di bawah pokok kelapa sawit mati,” katanya, semalam.
Susulan kejadian, dia membuat laporan di Balai Polis Tanjung Sepat.
Kanapiraan berkata, dia sama sekali tidak menyangka hujan renyai-renyai ketika kejadian membawa musibah kepada haiwan ternakannya.
“Lembu ini sebenarnya akan dijual pada Jumaat ini sempena menyambut Aidilfitri, tapi tak sangka jadi begini.
“Tetapi nasib baik saya masih ada sembilan ekor lembu lagi yang masih hidup,” katanya menambah kejadian itu adalah kali kedua berlaku kepada lembunya kerana dua bulan lalu, dua ekor lembunya mati disambar petir.
Dia juga berharap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat memberi bantuan sewajarnya kepadanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tujuhlembumeragutmatidipanahpetir/Article
Selasa, 7 September 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan