Dua rumah terbakar dipanah petir
23 Ogos 2017
DUA rumah terbakar dipercayai dipanah petir dalam kejadian
di Kampung Dalam Rhu, Tumpat petang hari ini.
Dalam kejadian 5.40 petang itu, sebuah Proton Saga dan dua
motosikal turut musnah.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Saksi kejadian, Esah Mohd Yusof, 66, berkata, ketika
kejadian dia sedang mengajar cucunya mengaji al-Quran.
Katanya, dia dikejutkan bunyi petir sebelum melihat api
marak di rumah jirannya, Azizah Aziz, 58,
"Saya menarik cucu menyelamatkan diri. Ketika itu saya
tidak terfikir untuk menyelamatkan sebarang dokumen penting.
"Sebaik saja keluar dari rumah, saya lihat api di rumah
jiran marak sebelum orang ramai datang dan menghubungi bomba.
"Kebakaran turut mengakibatkan dinding rumah saya
hangus namun bomba sempat mengawal api daripada terus merebak," katanya
tadi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)
Tumpat, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.45
petang.
Katanya, 14 anggota bomba dari BBP Tumpat dan BBP Pengkalan
Kubor dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami dapati api sedang marak dan rumah
terbabit sudah 80 peratus terbakar.
“Bomba mengambil masa 10 minit untuk mengawal api daripada
merebak," katanya.
Menurutnya, punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam
siasatan.
- Harian Metro