15 Feb 2014
KAMPAR - Sekitar 1.6 hektar kawasan
hutan di Gunung Tempurung berhampiran Kampung Sungai Siput Selatan
dekat sini terbakar dipercayai berpunca daripada panahan kilat pukul
5 petang kelmarin.
Operasi memadam kebakaran yang memasuki
hari kedua semalam menyaksikan kawasan hutan batu kapur seluas empat
hektar itu masih mampu dikawal cuma dikhuatiri api akan merebak ke
bahagian lain berhampiran lebuh raya.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan
Penyelamat negeri, Ruhisha Haris berkata, sekiranya api merebak ke
bahagian berkenaan, pihaknya terpaksa membina langkau api bagi
mengelak asap daripada mengganggu pemandu di lebuh raya.
"Saya tidak rasa api akan merebak
ke seluruh gunung ekoran cuaca dua ke tiga hari ini menunjukkan
tanda-tanda akan hujan.
"Setakat ini, kita sedang membuat
pemantauan untuk melihat pergerakan api ke bahagian lain.
"Di sekeliling bukit, memang tidak
boleh dipanjat. Terlalu bahaya dan berisiko kerana ia tidak landai.
Setakat ini, kebakaran dapat diatasi dengan menggunakan pam angkut
berkapasiti tinggi. Ini sahaja yang boleh diusahakan ekoran kebakaran
berlaku pada aras yang tinggi selain tinjauan dari udara,"
katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan