FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Isnin, 2 September 2013

Pemuda maut disambar petir


2 September 2013

PUCHONG – Kegembiraan sebuah keluarga menyambut menantu pada majlis perkahwinan diadakan di Taman Mawar di sini semalam berakhir duka apabila adik pengantin lelaki maut disambar petir.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa Mohd Fareez Naim Mhd Fuzi, 18 dikatakan berjalan kaki memayungi ibu saudaranya ke kereta berikutan hujan lebat.

Ketika berada beberapa meter dari jarak khemah perkahwinan abangnya, mangsa, ibu saudaranya dan seorang sepupu perempuan berusia tujuh tahun tiba-tiba disambar petir dan tercampak.

Saksi kejadian, Abd Manap Kamal Baharin berkata, dia ternampak percikan api dan bunyi kuat seperti letupan.

Menurutnya payung yang dipegang mangsa terbakar dan panahan petir menyebabkan ketiga-tiga mangsa rebah di atas jalan.

“Beberapa tetamu yang berada di khemah terus berlari ke tempat kejadian sambil melaungkan ALLAHUAKBAR beberapa kali.

“Ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke hospital, namun Fareez yang menuntut di Politeknik Port Dickson disahkan meninggal dunia beberapa minit selepas itu,” katanya.

Bapa arwah, Mhd Fuzi Mahmud, 55 berkata, sebelum kejadian anaknya tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.

Katanya, anak kelima daripada enam beradik itu seorang yang peramah.

“Kejadian berlaku ketika anak saya menghantar ibu saudaranya yang mengandung ke kereta. Saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya yang masih sugul dengan kejadian menimpa anaknya itu.

Sementara itu, juruhebah perkahwinan, Azizul Azwan Amran, 31 berkata, arwah orang yang pertama sampai di khemah perkahwinan terletak beberapa meter dari rumah keluarganya, semalam.

Arwah katanya sempat bersembang dengannya dan menyatakan baju yang dipakainya adalah pilihannya.

“Masih terngiang-ngiang kata-kata arwah yang menyatakan baju pemberian bapanya yang dipakai saya pagi semalam adalah pilihannya.

“Ayat terakhir dia saya tidak akan lupa abang kena ingat sampai bila-bila baju ini saya yang pilih,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan