FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Sabtu, 27 Julai 2013

Tak muncul buka puasa
27 Julai 2013

Kota Tinggi: Seorang anggota tentera, Mohd Razid Sadiran, 25, meninggal dunia akibat dipanah petir ketika menyiapkan tugasan persiapan menjelang latihan ketenteraan di sebuah hutan air terjun berhampiran Kampung Temenin Baru di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, rakan mangsa, Azwan Abdullah, 25, turut cedera dan kejadian menimpa kedua-dua mangsa hanya disedari rakan yang lain apabila kedua-duanya tidak muncul menjelang waktu berbuka puasa.

Lokasi kejadian juga dikenali sebagai Lembah Pelepah dan terletak tidak jauh dari banjaran Gunung Panti dan Gunung Muntahak.

Mohd Razid, dari 6 Renjer, berpangkalan di Kuala Lumpur, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Azwan, dari 14 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Gemas, Negeri Sembilan, kini dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Difahamkan, kedua-dua mangsa bersama 11 anggota yang lain menjadi pasukan pendahulu bagi membuat persiapan pentadbiran sebelum anggota lain tiba untuk menjalani latihan hutan selama seminggu di situ.

Ahad, 7 Julai 2013

Rumah bergegar dipanah petir




6 Julai 2013

HULU BESUT - Sekurang-kurangnya sembilan rumah di Kampung Dusun Beliku, Jalan Air Panas La, dekat Kampung La di sini, mengalami kerosakan akibat disambar petir dalam kejadian, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5 petang ketika hujan lebat itu menyebabkan rumah, pendawaian dan peralatan elektrik rosak, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Salah seorang mangsa, Ghani Samad, 65, berkata, kesemua rumah terbabit disambar serentak selepas berlaku petir kuat.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama isteri Zaharah Mohd Saman, 65, sedang duduk di bahagian tengah rumah dikejutkan dengan kedengaran petir diikuti letupan kuat di bahagian depan rumahnya.

“Bunyi petir serta dentuman sangat kuat sehingga menggegarkan rumah menyebabkan isteri saya terkejut dan terkedu. Petir turut menyambar wayar pendawaian di dalam rumah dan kotak fius elektrik manakala penjuru dinding bata rumah berlubang.

“Bahagian bumbung sebuah pondok yang terletak berhampiran rumah turut roboh terkena panahan petir itu,” katanya yang bersyukur kerana terselamat.

Lihat bebola api sebesar bola sepak

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Zakaria Mohamad, 40, berkata, dia melihat petir seperti bebola api jatuh berhampiran rumah Ghani yang terletak kira-kira 350 meter dari rumahnya.

Menurutnya, ketika itu dia berada di muka pintu rumahnya dan terkejut apabila mendengar petir sangat kuat diikuti bebola api sebesar bola sepak di kawasan rumah jirannya itu.

“Ia sangat cerah dan cepat. Kejadian itu menyebabkan perkakas elektrik di rumahnya seperti televisyen dan siaran Astro turut mengalami kerosakan,” kata penoreh getah ini.

Sementara itu, menurut Hanapi Jusoh, 38, ketika kejadian, dia berada di kedai runcitnya terkejut apabila terdengar bunyi dentuman petir luar biasa, lalu bergegas pulang ke rumah yang terletak 400 meter dari kedai runcitnya.

Menurut Hanapi, dia bergegas pulang kerana bimbangkan keadaan isteri serta anak-anaknya di rumah ketika itu dan mendapati peralatan elektrik seperti televisyen dan lampu turut rosak.

"Turut menerima nasib sama ialah rumah ibu bapa, kakak, adik dan tiga lagi rumah penduduk kampung yang terletak dalam kawasan satu kilometer persegi itu.

“Sejak saya dilahirkan dan dibesarkan di sini, inilah kali pertama kejadian petir luar biasa berlaku menyebabkan banyak rumah rosak,” katanya.

Hanapi berkata lagi, akibat kejadian itu kesemua mangsa fobia setiap kali berlaku hujan lebat berserta dengan petir.

Selain kerosakan rumah dan peralatan elektrik, beberapa pokok buah-buahan seperti durian dan petai turut terkena petir.