29 September 2012
DUNGUN - Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila
rumah mereka di Kampung Paya, Balai Besar dekat sini, hangus dalam kebakaran
petang tadi.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun Penolong Penguasa
Bomba Norazizi Che Noh berkata ketika kejadian pada 3.30 petang, pemilik rumah
Abd Jabar Abdullah, 43, seorang kontraktor pendawaian elektrik, sedang bekerja
di Paka manakala isteri serta empat anaknya, yang berusia sembilan hingga 15
tahun, berada di rumah nenek mereka di Kampung Batu 5.
"Bomba yang menerima panggilan orang ramai kira-kira
jam 3.43 petang bergegas ke tempat kejadian bersama 11 anggota dan tiga jentera
dari Balai Bomba Paka. Empat anggota Jabatan Pertahanan Awam turut bergegas ke
tempat kejadian.
"Pasukan bomba tiba lapan minit selepas menerima
panggilan dan mendapati keseluruhan rumah terbabit telah musnah terbakar, namun
mereka berjaya memadamkan kebakaran kira-kira 20 minit selepas itu," katanya
kepada pemberita di sini.
Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih
disiasat. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan