FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Isnin, 8 Oktober 2012

Dapur kena panah petir


Rahimah menunjukkan kesan kebakaran pada permaidani yang dipijaknya berikutan kejadian dapur rumahnya di Kampung Kubang Palas, Kuala Telemong dipanah petir petang kelmarin.

8 Oktober 2012

HULU TERENGGANU - “Secara tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman dan ketika itu jugalah pelbagai barangan dapur pecah dan terpelanting, selain kepingan mozek di bahagian dinding dapur turut pecah,” cerita Rahimah Ngah, 43.

Suri rumah yang tinggal di Kampung Kubang Palas, Kuala Telemong ini, bukan sahaja hampir dipanah petir ketika dia sedang memerah kelapa di dapur dalam kejadian kira-kira 2.30 petang kelmarin, tetapi kain batik dipakainya hampir terbakar tanpa disedari.

Menceritakan detik cemas itu, Rahimah berkata, ketika kejadian, dia hanya berdiri kaku kerana terkejut, biarpun ketika itu kaki kirinya terasa begitu kebas kesan panahan petir berkenaan selain permaidani dipijaknya terbakar.

Menurutnya, sebelum kejadian itu, hujan renyai-renyai. Dia berada di dapur, manakala salah seorang anaknya, Mohd Fakhri Mohd Zulkifli, 19, berdiri di luar rumah hadapan pintu utama dapur.

Kata Rahimah, anaknya terlihat cahaya seperti bebola api meluru laju ke arah dapur rumah.

“Malah, petir tersebut meluru melalui celah kakinya dan terus terkena sudut dinding bahagian dapur hingga menyebabkan banyak barangan kaca pecah dan terpelanting.

“Mulanya saya fikirkan tong gas akan meletup setelah berdentum kuat, apatah lagi ketika itu saya menggunakan dapur gas kerana ingin memasak," katanya.

Rahimah bersyukur mereka terselamat walaupun kedua-duanya hampir terkena panahan petir.

Akibat kejadian itu, dinding dapur rumah Rahimah turut retak.

Isnin, 1 Oktober 2012

6 sekeluarga tinggal sehelai sepinggan, rumah hangus di Dungun


29 September 2012

DUNGUN - Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Paya, Balai Besar dekat sini, hangus dalam kebakaran petang tadi.
  
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun Penolong Penguasa Bomba Norazizi Che Noh berkata ketika kejadian pada 3.30 petang, pemilik rumah Abd Jabar Abdullah, 43, seorang kontraktor pendawaian elektrik, sedang bekerja di Paka manakala isteri serta empat anaknya, yang berusia sembilan hingga 15 tahun, berada di rumah nenek mereka di Kampung Batu 5.
  
"Bomba yang menerima panggilan orang ramai kira-kira jam 3.43 petang bergegas ke tempat kejadian bersama 11 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba Paka. Empat anggota Jabatan Pertahanan Awam turut bergegas ke tempat kejadian.
   
"Pasukan bomba tiba lapan minit selepas menerima panggilan dan mendapati keseluruhan rumah terbabit telah musnah terbakar, namun mereka berjaya memadamkan kebakaran kira-kira 20 minit selepas itu," katanya kepada pemberita di sini.
  
Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. - Bernama

Petir masuk rumah


1 Okt 2012

DUNGUN: “Panahan kilat itu menyambar begitu kuat sehingga membakar rumah jiran,” kata Tengku Hasmita Tengku Ismail, 38, menceritakan kejadian panahan petir sehingga rumah jirannya hangus dalam kebakaran di Kampung Paya, Balai Besar, kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian dia duduk di atas sebuah sofa bermain dengan anak saudaranya yang berusia dua tahun di ruang tamu rumah jam 3.30 petang.

“Hujan lebat disusuli dua panahan petir sebelum itu tidaklah kuat. Tiba-tiba satu lagi panahan petir yang kuat sehingga cahayanya masuk ke rumah menyebabkan saya dan anak saudara tercampak dari kerusi sofa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, dia segera memeluk anak saudaranya yang menangis begitu kuat sebelum terpandang dinding rumah jirannya mula dibakar api.

“Saya yang cemas dan hanya mampu menjerit memberitahu jiran melalui tingkap rumah kerana bimbang turun dari rumah berikutan hujan lebat dan bimbang dipanah petir,” katanya.