15 September 2012
CHUKAI – “Waktu itu saya sedang caj
telefon bimbit dan letakkannya atas paha sambil tangan diletakkan
atas telefon itu namun tak semena-mena saya rasakan terkena renjatan
elektrik lalu saya yang berada di atas katil dalam bilik tidur
tercampak di tepi dinding dengan badan kaku serta kejang,” kata
Aniq Syazwan Abu Bakar, 16.
Aniq Syazwan nyaris maut akibat panahan
petir menyambar wayar elektrik hingga menyebabkan dia terkena
renjatan dalam kejadian ketika hujan lebat dan kilat sambar menyambar
kira-kira jam 8.12 malam di rumahnya di Taman Mawar 2, Jalan
Tempurung, dekat sini, tiga hari lalu.
Pelajar tingkatan empat ini yang masih
sedarkan diri sejurus renjatan itu hanya mampu membuka mata dan
melihat kedua-dua tangannya bertukar menjadi biru kehitaman sebelum
tidak sedarkan diri ketika kedua ibu bapanya memasuki bilik tidurnya.
“Semasa terkena renjatan itu saya
lihat cahaya menyambar tangan lantas saya tercampak ke tepi dinding.
Kejadian ini buatkan saya trauma dan serik untuk memegang telefon
bimbit lagi semasa petir atau kilat,” katanya kepada Sinar Harian
semalam.
Sementara itu, bapa Aniq Syazwan yang
juga kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Kemaman, Abu Bakar
Abdullah, 55, berkata, semasa kejadian dia sedang berwirid di ruang
solat di rumahnya sebelum terdengar bunyi ‘prakkk’ lalu bekalan
elektrik terpadam sebelum terdengar sayup-sayup anak bongsunya
daripada lima beradik itu meraung kesakitan.
“Ketika itu terdetik di hati saya
mungkin anak bongsu saya sudah meninggal. Lalu dalam keadaan gelap
saya dapat capai telefon bimbit isteri sebagai sumber cahaya dan
menuju ke bilik adik (nama panggilan untuk Aniq).
“Bila masuk ke biliknya, saya
suruhnya mengucap kerana sangkakan keadaannya sudah tenat tapi
Alhamdulillah waktu saya masuk ke dalam biliknya bersama isteri,
Pasiah Hamzah, 51, dia masih sedarkan diri tetapi badannya kejang
seperti robot sebelum kami menghantarnya ke Hospital Kemaman,”
katanya sambil menganggap kejadian berkenaan satu keajaiban dan
kebesaran Allah SWT kerana anaknya masih selamat.
Difahamkan akibat panahan petir itu,
televisyen dan mentol di rumah dua jiran mereka turut meletup. Aniq
Syazwan ditahan dalam wad selama dua hari kerana dikhuatiri kesan
arus elektrik boleh memudaratkan otak dan jantungnya sebelum
dibenarkan pulang petang kelmarin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan