FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Rabu, 27 Jun 2012

Bola api masuk rumah

27 Jun 2012

Pagar batu rumah jiran mereka pecah akibat panahan petir sebelum menghasilkan ‘bola api’ yang dikatakan memasuki rumah Said.

MARANG – "Semasa isteri saya sedang memasak di dapur, hujan agak lebat di luar, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum isteri menjerit ada sebiji ‘bola api’ sebesar bola tenis masuk ke dalam rumah dan meluncur laju menuju ke arah bilik mandi.

Demikian cerita Said Abdul Rahman, 68, yang terselamat selepas rumah didiami bersama isteri, Fatimah Mamat, 58, dan tiga anak mereka disambar petir ketika ditemui Sinar Harian di rumah mereka di Tanjung Belor, Pengkalan Berangan di sini, semalam.

Menurutnya, susulan kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 petang itu, dia dan isteri termasuk tiga anak yang berada di dalam rumah, panik apabila asap hitam memenuhi ruang tamu dan dapur rumah kesan selepas ‘bola api’ itu memasuki rumah mereka.

“Saya yang berada di dalam bilik ketika itu bergegas keluar dan melihat suis elektrikdalam rumah turut terbakar manakala kotaknya hancur, di samping bahagian atas mesin basuh pecah dan simen dalam bilik mandi pula berlubang kerana ‘bola api’ itu.

“Ini merupakan kejadian pertama rumah kami disambar petir sejak lebih 10 tahun tinggal di sini. Mujur saya, isteri dan anak-anak yang berada di dalam rumah serta rakan anak-anak yang berteduh kerana hari hujan di luar rumah ini terselamat,” katanya.

Said berkata, kejadian itu turut menyebabkan pagar batu di rumah jirannya pecah dan anak-anaknya berpendapat penahan petir itu menuju ke arah pagar rumah jiran mereka itu terlebih dahulu sebelum ‘bola api’ itu terhasil dan masuk ke rumah mereka.

Menurutnya, dia sekeluarga masih mengalami kesan trauma dan bimbang akan keselamatan mereka jika kejadian hujan lebat dan ribut petir melanda semula di kawasan berkenaan sekali gus insiden sama berlaku lagi.

“Namun, kami bersyukur kerana perkara itu juga sudah mendapat perhatian pihak Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Berangan dan kerosakan berlaku di rumah ini termasuk fius terbakar dibaiki hari ini (semalam),” katanya.

Isnin, 25 Jun 2012

Tercampak tujuh meter akibat dipanah petir

25 Jun 2012

KUALA TERENGGANU - Seorang bapa kepada tiga anak berdepan detik mencemaskan apabila nyaris rentung setelah terkena panahan petir dalam satu kejadian di Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, di sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga seorang warga Kemboja, Timmy Chea Choo, 35, sedang menoreh getah bersama isterinya, Chouk Ann, 32, di kawasan kebun yang berbukit.

Menceritakan detik mencemaskan  itu, isteri mangsa yang kurang fasih berbahasa Melayu berkata, semasa kejadian, hujan renyai-renyai disusuli dengan angin kencang serta ribut petir.

“Ketika itu kami sedang menoreh tetapi melihatkan keadaan cuaca ketika itu, kami cepat-cepat mengemaskan barang untuk beredar. Bagaimanapun, kejadian berlaku begitu pantas.

“Sedang kami sibuk berkemas, tiba-tiba satu cahaya seperti kilat terkena pada suami dan panahan itu menyebabkan suami saya tercampak sejauh kira-kira tujuh meter ke dalam semak,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Menurut Chouk Ann, akibat kejadian itu, suaminya tidak sedarkan diri dan melihatkan keadaan itu, dia terus berlari mendapatkan bantuan penduduk setempat yang berada berdekatan. Mangsa yang turut terbakar di bahagian kaki dan  belakang badan serta melecur di muka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk mendapatkan rawatan susulan.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu keluar menoreh getah seawal jam 10 pagi lagi dan tinggal di negara ini sejak dua tahun lalu.

Isnin, 18 Jun 2012

Dua kali rumah disambar petir

17 Jun 2012

KUNDUR HULU – Seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berhadapan detik-detik mencemaskan apabila kediaman mereka di Jalan Empang Batu, di sini, di panah petir dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Nur Hazlina Hashim, 29, sedang menyapu rumah seperti biasa sambil menonton sepintas lalu siaran televisyen.

Manakala, anak buahnya, Nur Syameliana Darlisyah Mohd Sharizan, 7, berada di dalam bilik.

Menurut Hazlina, sebaik sahaja dia duduk di atas tikar di hadapan televisyen dan ingin mencapai telefon bimbit yang diletakkan di meja bersebelahan kabinet televisyen, dia ternampak segumpal api di bahagian hadapan televisyen.

“Mula-mula saya ingat TV akan meletup serta mengenai saya, namun saya sempat berganjak ke belakang dan melihat dengan jelas api setelah mendengar bunyi dentuman petir yang sangat kuat sehingga menyebabkan bahagian depan dekoder Astro terpelanting di hadapan saya.

“Saya tergamam seketika dan anak buah saya bergegas keluar dari bilik serta memeluk saya dengan kuat sambil menangis kerana terkejut.

Mujurlah, bunyi hon kereta bapa saya yang kebetulan pulang dari kenduri menyedarkan saya dari kejadian mencemaskan ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Hashim Hasan, 61, berkata, kejadian berkenaan merupakan kali kedua berlaku semenjak 22 tahun dia dan keluarga menetap di perkampungan berkenaan.

Menurutnya, pada kali pertama kejadian iaitu sekitar tahun 1998, hanya televisyen sahaja yang rosak susulan petir kuat.

Bagaimanapun, pada kejadian terbaru ini, dua dekoder astro rosak dan tiang rumahnya juga retak serta pecah dipanah petir yang mana kerugiannya dianggarkan mencecah RM1,000.

“Pada masa kejadian, saya dan isteri dalam perjalanan pulang ke rumah dan kami ada terdengar satu bunyi petir kuat.

Namun, saya tidak menyangka rumah saya dipanah petir dan mujurlah tiada apa yang buruk berlaku.

“Jika diikutkan pada masa kejadian, hujan tidak terlalu lebat dan petir serta guruh juga tidak terlalu ketara. Kebiasaannya, semasa petir atau guruh kuat, kami sekeluarga akan menutup televisyen,” katanya.

Khamis, 14 Jun 2012

SK Penambang nyaris terbakar disambar petir

KOTA BHARU 13 Jun 2012 - Sekolah Kebangsaan (SK) Penambang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) dekat sini nyaris terbakar selepas disambar petir sebanyak dua kali petang semalam.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika hujan lebat yang diselang-seli dengan petir.

Difahamkan, asap yang keluar daripada kayu di bahagian bumbung bilik muzik di tingkat tiga blok utama sekolah itu hanya disedari oleh seorang murid yang tinggal berhampiran pada sebelah malam, beberapa jam selepas hujan berhenti.

Kanak-kanak itu kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada seorang pengawal keselamatan sekolah yang telah menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat untuk bantuan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohamad Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 11.16 malam dan tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.