FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Khamis, 17 Mei 2012

Mangsa petir mimpi mati


Mangsa petir mimpi mati
17 Mei 2012

TINGGAL KENANGAN...penduduk, Zulkifli Suid menunjukkan keadaan motosikal milik arwah. Gambar kecil, Azizan.

YAN: “Kira-kira dua minggu lalu, arwah ayah memberitahu rakannya yang dia bermimpi akan mati dan saya tidak sangka mimpi itu menjadi kenyataan.

“Lebih menyedihkan kematian ayah begitu tragis,” kata Muhammad Faiz, 21, anak sulung kepada Azizan Abu, 50, yang terbunuh akibat disambar petir dalam kejadian di Kampung Setar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa dikatakan baru pulang mengerjakan sawah dan mahu mengambil anak bongsunya pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Setar yang terletak berhampiran.

Mangsa dipercayai disambar petir ketika menunggang motosikal sebelum terjatuh di tepi sawah, kira-kira empat kilometer dari rumahnya. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah termasuk melecur di muka, badan, kepala dan kedua-dua betis. Sebelum itu, hujan lebat kira-kira 15 minit disusuli petir melanda kawasan berkenaan.

Muhammad Faiz berkata, ketika kejadian dia berada di Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, Perlis.

“Minggu lalu, saya rasa tidak sedap hati kerana terlalu memikirkan ayah di rumah menyebabkan Sabtu lalu, mengambil keputusan pulang ke kampung menjenguk keadaannya.

“Ketika itu, saya sudah melihat perubahan pada arwah ayah apabila tidak banyak cakap dan bertukar pendiam.

“Saya ketika itu tidak mengesyaki sesuatu kerana memikirkan arwah mungkin penat menguruskan sawah selain aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya yang ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Menurutnya, arwah bapanya ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan guru (PIBG) SK Kampung Setar selain aktif sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) kawasan Jerai serta amil zakat di daerah itu.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Rozi Zainal, 53, berkata, ketika kejadian, dia ternampak mangsa menunggang motosikal kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Tiba-tiba saya nampak cahaya terang dari langit dan selepas itu tidak lagi melihat mangsa menyebabkan saya terus bergegas pulang memanggil penduduk kampung untuk membantu mencarinya.

“Bagaimanapun, mangsa ditemui terbaring dihempap motosikalnya yang terbalik di tepi sawah dipercayai sudah meninggal dunia.,” katanya.

Katanya, dia sendiri turut terkena panahan petir apabila mengalami kecederaan di pipi kiri selain badan terasa panas hingga kini.

“Mangsa dihantar ke Hospital Yan oleh anggota polis selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Setar, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam anak berusia antara sembilan hingga 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Rabu, 16 Mei 2012

Petani Maut Dipanah Petir


Petani Maut Dipanah Petir
Rabu Mei 16, 2012

YAN: Seorang petani maut selepas dipanah petir ketika menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya di Kampung Setar di sini petang Selasa.

Azizan Abu, 50, yang dalam perjalanan pulang dari sawahnya kira-kira 5.30 petang maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan di badan, kepala, tangan dan kaki.

Anak mangsa, Mohamad Faiz, 21, memberitahu bahawa rakan bapanya Mohd Rozi Zainal, 53, yang datang dari arah bertentangan ternampak petir menyambar bapanya.

Mohd Rozi juga turut cedera di muka akibat terkena petir walaupun jarak mereka berdua ketika itu ialah kira-kira 50 meter.

Mohamad Faiz berkata, rakan bapanya itu melihat bapanya terbaring dan tidak sedarkan diri di dalam sawah, sebelum dia mendapatkan bantuan orang ramai untuk menolong Azizan.

Mayat Azizan kemudiannya di hantar ke Hospital Yan kira-kira 6.50 petang sebelum dituntut dan dikebumikan di Kampung Setar kira-kira 11 pagi Rabu.

Mangsa meninggalkan isteri, enam orang anak berusia sembilan hingga 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superitendan Ismail Abu ketika mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. - BERNAMA

Selasa, 8 Mei 2012

Orang ramai, penumpang gempar


LAPANGAN Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu gempar apabila kepulan asap keluar dari bangunan lapangan terbang itu kelmarin.

8 Mei 2012 KOTA BHARU – Keadaan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini gempar apabila kepulan asap keluar daripada pendingin hawa yang terletak di tingkat satu berhampiran sebuah restoran makanan segera petang kelmarin.

Kejadian yang berlaku pada pukul 6.27 petang itu dikatakan berpunca daripada suis kawalan pendingin hawa yang disambar petir.

Menurut Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Pengkalan Chepa, Jefri Ramli, sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai dan penumpang diarah mengosongkan bangunan lapangan terbang tersebut.

Katanya, arahan itu dikeluarkan bagi membolehkan pihak keselamatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan pemeriksaan bagi mengetahui punca kejadian.

“Sebagai langkah berjaga-jaga kami mengarahkan orang ramai mengosongkan bangunan lapangan terbang itu selama 30 minit.

“Operasi lapangan terbang itu berjalan seperti biasa selepas itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Isnin, 7 Mei 2012

Isteri penoreh mati kena renjatan petir


Isteri penoreh mati kena renjatan petir
7 Mei 2012

Mayat mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Melaka. ALOR GAJAH - Seorang isteri penoreh getah tidak sempat membawa pulang hasil torehannya apabila dia terkena renjatan petir ketika hujan lebat di ladang getah Rembia, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, N. Danarachame, 56, sedang mengutip baki getah sekerap yang hampir selesai sambil bersiap sedia untuk pulang bersama suaminya, C.Mogan, 59, berikutan keadaan hujan lebat.

Mogan berkata, secara tiba-tiba isterinya rebah ke tanah.

“Ketika itu tangan sebelah kanan saya juga terasa seperti digeser sesuatu. Sebaik saja saya melihat sebelah, saya lihat isteri sudah rebah atas tanah tidak sedarkan diri dalam keadaan bekas getah segerap masih terikat di pinggangnya,” katanya.

Menurutnya, dia menjerit memanggil nama isterinya beberapa kali sambil menepuk serta menggoncangkan badannya, namun tiada tindak balas.

“Saya tidak pasti sama ada ketika itu isteri sudah meninggal dunia atau tidak. Melihat keadaan dia, saya terus meninggalkannya sendirian dan keluar menaiki motosikal meminta bantuan seorang rakan untuk membawanya ke hospital,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mogan berkata, dia dan isterinya keluar menoreh kira-kira 5.30 pagi dan ketika kejadian, mereka berdua sudah hampir selesai kerja dan mahu pulang ke rumah.

Malah, katanya, dia ada mengajak mangsa untuk pulang saja berikutan cuaca tidak baik.

“Saya berkata pada isteri, cuaca tidak elok, lebih baik bercuti saja. Namun, isteri cuma ketawa dan meneruskan juga kutip getah segerap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Rebah disambar kilat

Rebah disambar kilat
7 Mei 2012

ALOR GAJAH: “Saya menjerit memanggil nama isteri beberapa kali sambil menepuk dan menggoncangkan badannya, namun tiada tindak balas,” kata C Mogan, 59, suami kepada N Danarachame, 56, yang maut akibat disambar petir di ladang getah di Rembia, di sini, pagi semalam.

Sebelum kejadian, mangsa bersama suami keluar rumah sejak awal pagi menoreh getah dan menghabiskan kerja mengutip susu getah sebelum mengambil keputusan pulang ke rumah kerana hari hujan, jam 8 pagi.

Mogan berkata, seperti biasa, dia bersama isteri meninggalkan rumah untuk menoreh getah jam 5.30 pagi dan mengutip hasil torehan dua jam kemudian.

“Bagaimanapun, ketika memungut hasil getah itu, satu dentuman kilat kedengaran sebelum isteri rebah. Saya yang tidak jauh dari isteri berasa kebas seluruh badan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Sebaik disambar petir, isterinya jatuh tidak sedarkan diri dalam keadaan bekas getah masih terikat di pinggangnya.

Mogan berkata, dia cuba membantu isteri dengan menggoncangkan tubuhnya beberapa kali, namun tiada sebarang tindak balas sebelum bergegas menaiki motosikal keluar dari ladang bagi meminta bantuan.

“Melihat isteri tidak sedarkan diri, saya meninggalkannya sendirian 10 minit dalam ladang itu dan keluar menaiki motosikal meminta bantuan rakan membawanya ke hospital.

“Bagaimanapun, hospital mengesahkan isteri meninggl dunia ketika sampai di hospital selain bahu dan kaki kirinya melecur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.


Gempar asap penuhi Terminal LTSIP

Gempar asap penuhi Terminal LTSIP
5 Mei 2012

KOTA BHARU — Orang ramai dan penumpang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, di sini semalam, gempar apabila sebahagian bangunan terminal lapangan terbang itu, dipenuhi asap yang keluar melalui lubang pendingin hawa.

Keadaan yang dikhuatiri akibat kebakaran itu menyebabkan pihak pengurusan Malaysia Airport Berhad (MAB) mengarahkan orang ramai mengosongkan bangunan terminal itu kira-kira 30 minit bagi membolehkan pihak keselamatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat mengawal keadaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Raja Arisan Raja Ismail berkata, hasil pemeriksaan, asap berkenaan didapati berpunca daripada kebakaran kotak suiz pendingin hawa yang terletak di tingkat satu berhampiran sebuah restoran makanan segera.

Katanya, kejadian yang berlaku pukul 6.27 petang itu dipercayai daripada litar pintas selepas disambar petir sewaktu hujan lebat di kawasan berkenaan.

Raja Arisan berkata, pihaknya dengan 10 anggota, termasuk anggota bomba sukarela bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada pihak Pengurusan MAB.

"Setibanya di tempat kejadian, kami membuat pemeriksaan dan pemantauan, mendapati kebakaran kotak suiz penghawa dingin menjadi punca asap keluar,” katanya.

Turut berada di lapangan terbang berkenaan ketika kejadian ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang dijadual menaiki pesawat ke Kuala Lumpur. — BERNAMA


Orang Ramai Kelam-kabut Lapangan Terbang Dipenuhi Asap
Isnin Mei 7, 2012

KOTA BAHARU: Orang ramai dan penumpang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini, kelam-kabut apabila sebahagian bangunan terminal lapangan terbang itu, dipenuhi asap yang keluar melalui lubang pendingin hawa.

Keadaan yang dikhuatiri akibat kebakaran itu menyebabkan pihak pengurusan Malaysia Airport Berhad (MAB) mengarahkan orang ramai mengosongkan bangunan terminal itu kira-kira 30 minit bagi membolehkan pihak keselamatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat mengawal keadaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Raja Arisan Raja Ismail berkata hasil pemeriksaan, asap berkenaan didapati berpunca daripada kebakaran kotak suiz pendingin hawa yang terletak di tingkat satu berhampiran sebuah restoran makanan segera.

Katanya kejadian yang berlaku pukul 6.27 petang itu dipercayai daripada litar pintas selepas disambar petir sewaktu hujan lebat di kawasan berkenaan.

Raja Arisan berkata pihaknya dengan 10 anggota, termasuk anggota bomba sukarela bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan daripada pihak Pengurusan MAB.

"Setibanya di tempat kejadian, kami membuat pemeriksaan dan pemantauan, mendapati kebakaran kotak suiz penghawa dingin menjadi punca asap keluar," katanya.

Turut berada di lapangan terbang berkenaan ketika kejadian ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang dijadual menaiki pesawat ke Kuala Lumpur.

Jurucakap lapangan terbang itu berkata kejadian itu tidak menjejaskan operasi penerbangan di lapangan terbang itu. BERNAMA

 

Sabtu, 5 Mei 2012

Seorang remaja maut dipanah petir, dua parah


Seorang remaja maut dipanah petir, dua parah
5 Mei 2012

KUALA TERENGGANU – Keseronokan memancing bertukar tragedi apabila seorang remaja maut manakala dua lagi rakannya cedera parah dipanah petir ketika melakukan aktiviti itu di Pantai Teluk Ketapang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Mohd Ismuazam Mohd Jaafar, 18, dari Taman Desa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Chendering maut di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya Mohd Ikhwan Nawawi Abdullah, 18, serta Mohd Fharal Adzaana, 26, cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Ibu mangsa, Norhayati Mamat, 42, berkata, arwah anaknya itu meninggalkan rumah kira-kira jam 3 petang dengan menunggang motosikal milik bapanya untuk pergi memancing. “Arwah memang minat memancing dan hari ini, arwah begitu beria-ia sehinggakan dari pagi lagi dia asyik memperingatkan kepada saya dan ayahnya untuk meminjam motosikal bagi membolehkannya pergi memancing.
“Malah, sebelum arwah meninggalkan rumah, dia merenung wajah saya seolah-olah ada sesuatu yang hendak diperkatakan, dalam nada bergurau arwah sempat berkata ‘adakah saya ingin bergaduh dengannya’,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Norhayati berkata, dia tidak tahu arwah anaknya itu datang memancing di pantai berkenaan kerana sebelum itu, arwah memberitahu yang dia akan memancing di Marang bersama lima lagi rakannya. “Saya hanya tahu arwah berada di sini selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lagi anak saya memaklumkan kejadian ini kira-kira jam 4.30 petang sebelum kami semua bergegas ke sini,” katanya dalam nada sayu.

Sementara itu, rakan mangsa yang terselamat, Mohd Arif Hanafi, 22, dari Kampung Kuala Ibai Pantai, di sini, berkata, mereka memilih lokasi benteng pemecah ombak berbatu di pantai itu untuk memancing. “Semasa sedang asyik memancing, tiba-tiba awan berubah warna hitam sebelum hujan turun dengan lebat. Melihatkan suasana yang agak menakutkan dengan guruh dan petir agak kuat, saya menyuruh rakan berteduh di dalam kereta. “Tetapi hanya saya dan seorang lagi rakan yang selamat kerana ketiga-tiga mereka termasuk Mohd Ismuazam tidak mengendahkan suruhan saya malah mengambil keputusan berlindung di sebuah khemah diperbuat daripada kanvas yang didirikan pemancing sebelumnya,” katanya.

Mohd Arif berkata, ketiga-tiga mangsa enggan berganjak walaupun hujan lebat malah sempat lagi bergurau dengan berkata “alang-alang basah mereka akan terus memancing”.
“Selepas hujan reda, saya keluar untuk mendapatkan mereka dan terkejut setelah mendapati arwah sudah tidak bernyawa manakala dua lagi cedera. “Saya bergegas meminta bantuan orang ramai yang berada di kawasan ini untuk membawa mereka ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.