FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Jumaat, 29 September 2017

Surau musnah terbakar dipercayai dipanah petir



Surau musnah terbakar dipercayai dipanah petir
28 September 2017

REMBAU – Dalam jarak kira-kira empat kilometer dari lokasi kebakaran bangunan asrama perempuan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Kampung Nerasau, sebuah surau lama berusia lebih 80 tahun di Kampung Relong musnah terbakar, petang tadi.

Sinar Harian difahamkan, surau lama berkenaan terbakar apabila sistem pendawaian yang terletak di luar surau dipanah petir.

Dalam kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Ketua Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Dzor Yusof bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.40 petang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fuad Majid, pasukannya tiba di lokasi pada jam 5.08 petang dan sebaik sampai api sudah marak.

“Surau lama berstruktur papan berukuran 40x40 kaki musnah 100 peratus.   Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh lima minit sebaik pasukan bomba sampai.

“Susulan kejadian ini, balai bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin turut sama dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya.

Turut hadir ke lokasi kebakaran Adun Kota, Datuk Dr Awaludin Said dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis yang bergegas ke lokasi kebakaran sebaik mendapat makluman dari bangunan asrama perempuan STIAS.


Rabu, 20 September 2017

Bumbung sekolah dipanah petir


Bumbung sekolah dipanah petir
20 September 2017

SIJANGKANG - Tindakan pantas seorang guru dan pengawal keselamatan yang cuba memadamkan api di bahagian bumbung berjaya menyelamatkan keseluruhan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, di sini daripada hangus terbakar.

Kebakaran bumbung di pusat sumber sekolah yang dipercayai berlaku akibat dipanah petir itu cuba dipadamkan menggunakan alat pemadam api dalam kejadian jam 3.25 petang, kelmarin.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Hashim Sahed berkata, kejadian pada bangunan empat tingkat itu diketahui ketika berada di rumah selepas dimaklumkan cucunya.

“Ketika kejadian, cucu sedang bermain di padang bersebelahan sekolah dan dia beritahu saya pasal kebakaran ini.

“Jentera bomba kemudian tiba memadamkan api sebelum merebak dengan cepat,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan di sini, semalam.

Hashim berkata, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat turut hadir bagi meneliti kerosakan termasuk sebahagian di dalam kawasan bilik pusat sumber yang turut memuatkan rak buku.

“Saya difahamkan, permohonan baik pulih akan dipanjangkan kepada Kementerian Pendidikan tapi buat masa ini, sebarang aktiviti bersama pelajar dilarang dijalankan di tingkat empat yang turut menempatkan bilik tayang sehingga ia siap diperbaiki.

“Saya bersyukur, kejadian tidak melibatkan nyawa, cuma bimbang beberapa kakitangan pejabat masih bertugas. Alhamdullillah tak ada apa-apa berlaku,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli berkata, beliau berharap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang dapat beroperasi sepenuhnya segera berikutan keperluan perkhidmatan bomba di kawasan berkenaan sangat mendesak.