Pengsan dengar petir
22 Mac 2014
Alor Gajah: Empat murid Sekolah Rendah
Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Gadek, di sini, cedera
selepas terkena serpihan bumbung kelas yang runtuh dalam kejadian
ribut, petang kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 4.15 petang
itu, murid lelaki tahun empat, Muhd Nabil Haikal Hairun Nizam bengkak
tangan kanan manakala tiga rakannya, Raja Mohd Asri Raja Hisaam,
Aiman Adenan dan Abid Danial Abd Rahman cedera ringan.
Lebih mencemaskan, murid tahun enam,
Ain Mustika Mustafa rebah dan pengsan selepas terkejut mendengar
dentuman kuat petir.
Difahamkan, 38 murid lelaki dan
perempuan berusia 10 dan 12 tahun di dalam dua kelas berasingan
mengikuti kelas agama manakala 40 murid serta guru lain berada di
kantin sekolah ketika kejadian.
Pengetua sekolah, Jamilah Safar
berkata, kejadian disedari guru wanita sekolah yang melihat pusaran
angin menuju ke arah bumbung dua kelas berkenaan.
“Saya difahamkan, muncul pusaran
angin di atas bumbung dua kelas itu ketika hujan lebat sebelum
bumbung tercabut satu persatu dan serpihan runtuhan mengenai murid
berkenaan.
“Keadaan kelam-kabut dengan tangisan
murid yang ketakutan dan ia semakin kecoh apabila seorang murid
perempuan tahun enam tiba-tiba rebah serta tidak sedarkan diri
dipercayai terkejut akibat dentuman kilat,”katanya di sini,
kelmarin.
Menurutnya, dalam situasi cemas itu,
ada guru menangis kerana bimbangkan keselamatan murid.
Beberapa anggota polis tiba menenangkan
keadaan dan memaklumkan kejadian kepada pasukan penyelamat.
Sementara itu, Jurucakap Majlis Agama
Islam Melaka (MAIM) berkata, pihaknya meninjau kerosakan yang
berlaku.