28 November 2012
REMBAU – “Saya tidak dengar bunyi petir, tetapi saya nampak
cahaya yang seribu kali lebih terang daripada cahaya kamera,” kata salah
seorang jurupandu Gunung Datuk yang hanya ingin dikenali sebagai Din, 30-an,
ketika ditemui di kaki Gunung Datuk, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian
kira-kira 3 petang itu, seramai 96 peserta yang mendaki gunung sempena Program
Fasilitator Unggul dari Alumni Madrasah Annuriah, Melaka dan enam jurupandu
berhadapan detik mencemaskan apabila bahagian atas puncak gunung itu dipanah
petir dan aliran arusnya mengalir ke lokasi mereka berlindung di dalam sebuah
gua di lokasi berkenaan.
Akibat kejadian
itu, empat peserta kini ditahan di wad Hospital Tampin (HT) untuk rawatan
lanjut susulan mengalami kecederaan, kebas, hipertermia atau kesejukan melampau
dan anemia.
Peserta
berkenaan, Syed Mohd Hakimi Syed Azmi, 21, berasal dari Kelantan; Mohd Hadif
Mat, 22, dari Kota Bharu, Kelantan; Nor Sidah Mohd Fadil, 22, dari Teluk Intan, Perak dan Izzati Haziah Mohd, 21, dari Dungun
Terengganu.
Seawal 4.30
petang, pasukan perubatan dari HT sudah bersiap sedia di kaki Gunung Datuk
untuk memberikan rawatan awal kepada mangsa insiden berkenaan.
Tercampak selepas
kena renjatan petir
Din berkata,
ketika itu pihaknya yang menyedari keadaan cuaca bakal berubah buruk
mengarahkan peserta yang sedang ke puncak gunung untuk turun, sementara
sebahagian lagi tidak dibenarkan naik dan mereka berkumpul untuk diberikan
taklimat.
“Belum sempat
taklimat habis diberikan, tiba-tiba angin kuat dan saya mengarahkan kumpulan
peserta berlindung ke dalam gua berdekatan.
Kejadian berlaku
begitu pantas dan sedar-sedar saya sudah tercampak.
“Pada mulanya
saya ingat hanya tergelincir, namun apabila melihat keadaan selepas insiden
berkenaan dan telinga sebelah kiri tidak mendengar sebarang bunyi, saya sedar
ia disebabkan renjatan arus panahan petir yang dibawa oleh aliran air yang
terbentuk dalam gua berkenaan,” katanya.
Din berkata,
sepanjang tujuh tahun dia menawarkan khidmat jurupandu di Gunung Datuk
berkenaan, itu adalah pengalaman pertama kali dipanah petir.
Bomba, JPAM
turunkan mangsa Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus
Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.50 petang dan seramai
tujuh anggota menyertai operasi menurunkan mangsa yang berakhir sekitar 2.15
pagi semalam.
Menurutnya,
susulan terdapat mangsa mengalami kecederaan di bahagian ligamen dipercayai
terjatuh semasa menyelamatkan diri, anggota bomba naik ke atas puncak bagi
mengusung mangsa turun dengan lebih selamat.
“Bagaimanapun, ia
mengambil masa yang lama memandangkan keadaan trek licin susulan hujan lebat
dan cuaca gelap sehingga menyebabkan anggota bomba terpaksa menggunakan kaedah
mengensot sedikit demi sedikit.
“Bantuan dari
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba dengan kekuatan tujuh anggota bagi
membantu membawa turun mangsa yang mengalami kesejukan melampau yang sudah
bergerak turun terlebih dahulu.
Zamrus berkata,
dua lagi peserta mengalami kecederaan seperti kebas dan salah seorang daripada
mereka mengalami masalah melecur selepas terkena renjatan bersandar di bahagian
dalam gua berkenaan.
Menurutnya,
mangsa pertama yang dibawa turun dengan selamat sekitar 12 tengah malam dan
dikejarkan ke HT ialah Syed Mohamad Hakimi yang mengalami kesejukan melampau
dan mangsa terakhir Mohd Hadif yang cedera pada ligamen sekitar 2.15 pagi.
“Kita
menasihatkan orang awam untuk tidak menjalankan aktiviti seumpama ini semasa
musim tengkujuh memandangkan keadaan cuaca tidak menentu dan sukar
diramal," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan