FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Khamis, 13 Oktober 2011

Dentuman petir ketika mandi

Dentuman petir ketika mandi
Harian Metro 13 Okt 2011

KUANTAN: “Ketika mandi, saya tersentak apabila mendengar bunyi dentuman di bumbung bilik air sebelum serpihan atap siling berterbangan akibat dipanah petir dan hampir terkena kepala saya,” kata bekas wartawan Berita Harian, Noorwati Salleh, 48, selepas rumahnya di Kampung Kempadang, di sini, dipanah petir, semalam.

Menceritakan semula detik cemas yang hampir meragut nyawanya, dia berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika dia tinggal seorang diri, manakala suaminya, Mohd Shurri Mohd Yusof, 50, bersama tiga anaknya tiada di rumah.

Menurutnya, selepas dentuman berkenaan, dia meraba di kepala sebelum mendapati rambutnya dipenuhi habuk, manakala sebahagian atap bilik air pecah.

Katanya, dia bergegas keluar dari bilik air sebelum melihat di ruang tamu berselerak dipenuhi serpihan kaca.

“Kejadian berkenaan sungguh menggerunkan kerana petir datang sekelip mata menyambar ketika saya sedang mandi.

“Akibat kejadian berkenaan, sebahagian barangan elektrik dalam rumah rosak, namun jumlah kerugian belum dapat ditaksirkan,” katanya, semalam.

Noorwati yang mula menyertai Berita Harian sejak 22 tahun lalu sebelum berhenti secara sukarela (VSS) pada 2006 berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dalam tragedi itu.

Menurutnya, susulan kejadian itu, dia akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebelum merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, disebabkan rumahnya rosak teruk dia sekeluarga akan tinggal sementara waktu di rumah ibunya di Tanjung Api, di sini, sebelum menjalankan kerja membaiki semula kediaman yang sudah dihuni lebih 10 tahun lalu.

Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Kuantan dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dan membuat pemeriksaan di rumah mangsa sebagai langkah keselamatan dan mendapati semua keadaan terkawal.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dentumanpetirketikamandi/Article/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan