Nelayan maut disambar petir
3 Mac 2017
KUALA SEPETANG - Seorang nelayan ditemui maut dipercayai
disambar petir ketika mencari kerang di laut, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Lee Chye
Soon, 45, ditemui rakannya dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri dalam bot.
Mangsa dikatakan masih berada di laut untuk mencari kerang
walaupun ketika itu keadaan hujan lebat.
Abang mangsa, Lee Chye Chong, 60-an berkata, kebiasaannya
pada waktu berkenaan mangsa sudah hendak pulang ke rumah.
“Bagaimanapun, kami sekeluarga juga tidak menduga kejadian
ini boleh berlaku,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Chye Chong berkata, ketika kejadian, kawan Chye Soon yang
kebetulan berada tidak jauh melihat botnya tiba-tiba berpusing.
"Kawan Chye Soon segera ke bot dan bila sampai, Chye
Soon sudah tidak sedarkan diri. Kawannya terus bawa pulang ke Kuala Sepetang.
"Chye Soon disahkan meninggal dunia ketika berada di
atas bot,” katanya.
Katanya, mayat adiknya itu kemudiannya diserahkan kepada
pihak polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat.
Mendiang Chye Soon meninggalkan seorang isteri dan tiga anak
berusia 16, 14 dan 10 tahun.
Sementara itu, Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling turut
berkesempatan menziarahi keluarga mangsa.
Menurutnya, beliau akan membuat tindakan susulan dengan
pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berhubung kes tersebut.
“Setiap nelayan mempunyai perlindungan insurans dan jika
disahkan mangsa meninggal dunia semasa bekerja, tuntutan boleh dibuat.
“Ia penting bagi membantu keluarga ini kerana mangsa adalah
tunggak keluarga di mana isterinya tidak bekerja dan ketiga-tiga anak masih
bersekolah,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten
Komisioner Harrith Kam Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan
berhubung kejadian itu.
“Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan
tidak ada sebarang unsur jenayah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan