Warga Indonesia maut dipanah petir, jatuh laut
6 Februari 2017
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas
dipercayai dipanah petir sebelum terjatuh dari rakit sangkar kupang di Kampung
Kuala Masai, Masai, di sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abdul
Aziz berkata, dalam kejadian pada jam 5 petang itu, mangsa yang dikenali
sebagai Suhardi, 26, sedang berteduh di rakit berkenaan berikutan cuaca hujan
lebat.
"Ketika kejadian, dua lelaki warga Indonesia sedang
berteduh sebelum salah seorang daripada mereka terkena panahan petir sehingga
menyebabkannya terjatuh ke dalam laut.
Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 11
malam hari yang sama yang mana kita telah mengaktifkan pasukan mencari dan
menyelamat yang dianggotai oleh 18 anggota terdiri daripada polis marin,
Jabatan Bomba dan Penyelamat serta persatuan nelayan dan penduduk
kampung," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya lagi, operasi mencari dan menyelamat bermula pada
8 pagi hingga 9 malam pada hari Sabtu di sekitar radius 100 meter dari kawasan
sangkar kupang mangsa terjatuh namun gagal mengesan mangsa.
Mayat mangsa hanya dijumpai pada jam 11 pagi semalam dalam
keadaan terapung sekitar 100 meter dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.
Mayat mangsa kemudian
dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk dibedah siasat.
Hasil siasatan mendapati mangsa berasal dari Selat Panjang,
Riau, Indonesia.
Kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut dan siasatan
lanjut dijalankan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan