Seorang remaja maut dipanah petir, dua
parah
5 Mei 2012
KUALA TERENGGANU – Keseronokan
memancing bertukar tragedi apabila seorang remaja maut manakala dua
lagi rakannya cedera parah dipanah petir ketika melakukan aktiviti
itu di Pantai Teluk Ketapang di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang
itu, mangsa Mohd Ismuazam Mohd Jaafar, 18, dari Taman Desa Majlis
Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Chendering maut di tempat kejadian
manakala dua lagi rakannya Mohd Ikhwan Nawawi Abdullah, 18, serta
Mohd Fharal Adzaana, 26, cedera parah dan menerima rawatan di
Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Ibu mangsa, Norhayati Mamat, 42,
berkata, arwah anaknya itu meninggalkan rumah kira-kira jam 3 petang
dengan menunggang motosikal milik bapanya untuk pergi memancing.
“Arwah memang minat memancing dan hari ini, arwah begitu beria-ia
sehinggakan dari pagi lagi dia asyik memperingatkan kepada saya dan
ayahnya untuk meminjam motosikal bagi membolehkannya pergi memancing.
“Malah, sebelum arwah meninggalkan
rumah, dia merenung wajah saya seolah-olah ada sesuatu yang hendak
diperkatakan, dalam nada bergurau arwah sempat berkata ‘adakah saya
ingin bergaduh dengannya’,” katanya ketika ditemui di lokasi
kejadian, semalam.
Norhayati berkata, dia tidak tahu arwah
anaknya itu datang memancing di pantai berkenaan kerana sebelum itu,
arwah memberitahu yang dia akan memancing di Marang bersama lima lagi
rakannya. “Saya hanya tahu arwah berada di sini selepas menerima
panggilan telefon daripada seorang lagi anak saya memaklumkan
kejadian ini kira-kira jam 4.30 petang sebelum kami semua bergegas ke
sini,” katanya dalam nada sayu.
Sementara itu, rakan mangsa yang
terselamat, Mohd Arif Hanafi, 22, dari Kampung Kuala Ibai Pantai, di
sini, berkata, mereka memilih lokasi benteng pemecah ombak berbatu di
pantai itu untuk memancing. “Semasa sedang asyik memancing,
tiba-tiba awan berubah warna hitam sebelum hujan turun dengan lebat.
Melihatkan suasana yang agak menakutkan dengan guruh dan petir agak
kuat, saya menyuruh rakan berteduh di dalam kereta. “Tetapi hanya
saya dan seorang lagi rakan yang selamat kerana ketiga-tiga mereka
termasuk Mohd Ismuazam tidak mengendahkan suruhan saya malah
mengambil keputusan berlindung di sebuah khemah diperbuat daripada
kanvas yang didirikan pemancing sebelumnya,” katanya.
Mohd Arif berkata, ketiga-tiga mangsa
enggan berganjak walaupun hujan lebat malah sempat lagi bergurau
dengan berkata “alang-alang basah mereka akan terus memancing”.
“Selepas hujan reda, saya keluar
untuk mendapatkan mereka dan terkejut setelah mendapati arwah sudah
tidak bernyawa manakala dua lagi cedera. “Saya bergegas meminta
bantuan orang ramai yang berada di kawasan ini untuk membawa mereka
ke hospital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala
Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi
mengesahkan kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan