FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Khamis, 17 Mei 2012

Mangsa petir mimpi mati


Mangsa petir mimpi mati
17 Mei 2012

TINGGAL KENANGAN...penduduk, Zulkifli Suid menunjukkan keadaan motosikal milik arwah. Gambar kecil, Azizan.

YAN: “Kira-kira dua minggu lalu, arwah ayah memberitahu rakannya yang dia bermimpi akan mati dan saya tidak sangka mimpi itu menjadi kenyataan.

“Lebih menyedihkan kematian ayah begitu tragis,” kata Muhammad Faiz, 21, anak sulung kepada Azizan Abu, 50, yang terbunuh akibat disambar petir dalam kejadian di Kampung Setar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa dikatakan baru pulang mengerjakan sawah dan mahu mengambil anak bongsunya pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Setar yang terletak berhampiran.

Mangsa dipercayai disambar petir ketika menunggang motosikal sebelum terjatuh di tepi sawah, kira-kira empat kilometer dari rumahnya. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah termasuk melecur di muka, badan, kepala dan kedua-dua betis. Sebelum itu, hujan lebat kira-kira 15 minit disusuli petir melanda kawasan berkenaan.

Muhammad Faiz berkata, ketika kejadian dia berada di Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, Perlis.

“Minggu lalu, saya rasa tidak sedap hati kerana terlalu memikirkan ayah di rumah menyebabkan Sabtu lalu, mengambil keputusan pulang ke kampung menjenguk keadaannya.

“Ketika itu, saya sudah melihat perubahan pada arwah ayah apabila tidak banyak cakap dan bertukar pendiam.

“Saya ketika itu tidak mengesyaki sesuatu kerana memikirkan arwah mungkin penat menguruskan sawah selain aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya yang ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Menurutnya, arwah bapanya ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan guru (PIBG) SK Kampung Setar selain aktif sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) kawasan Jerai serta amil zakat di daerah itu.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Rozi Zainal, 53, berkata, ketika kejadian, dia ternampak mangsa menunggang motosikal kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Tiba-tiba saya nampak cahaya terang dari langit dan selepas itu tidak lagi melihat mangsa menyebabkan saya terus bergegas pulang memanggil penduduk kampung untuk membantu mencarinya.

“Bagaimanapun, mangsa ditemui terbaring dihempap motosikalnya yang terbalik di tepi sawah dipercayai sudah meninggal dunia.,” katanya.

Katanya, dia sendiri turut terkena panahan petir apabila mengalami kecederaan di pipi kiri selain badan terasa panas hingga kini.

“Mangsa dihantar ke Hospital Yan oleh anggota polis selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Setar, di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam anak berusia antara sembilan hingga 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan