7 Mei 2012
ALOR GAJAH: “Saya menjerit memanggil nama isteri beberapa
kali sambil menepuk dan menggoncangkan badannya, namun tiada tindak balas,”
kata C Mogan, 59, suami kepada N Danarachame, 56, yang maut akibat disambar
petir di ladang getah di Rembia, di sini, pagi semalam.
Sebelum kejadian, mangsa bersama suami keluar rumah sejak
awal pagi menoreh getah dan menghabiskan kerja mengutip susu getah sebelum
mengambil keputusan pulang ke rumah kerana hari hujan, jam 8 pagi.
Mogan berkata, seperti biasa, dia bersama isteri
meninggalkan rumah untuk menoreh getah jam 5.30 pagi dan mengutip hasil torehan
dua jam kemudian.
“Bagaimanapun, ketika memungut hasil getah itu, satu
dentuman kilat kedengaran sebelum isteri rebah. Saya yang tidak jauh dari
isteri berasa kebas seluruh badan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di
sini, semalam.
Sebaik disambar petir, isterinya jatuh tidak sedarkan diri
dalam keadaan bekas getah masih terikat di pinggangnya.
Mogan berkata, dia cuba membantu isteri dengan
menggoncangkan tubuhnya beberapa kali, namun tiada sebarang tindak balas
sebelum bergegas menaiki motosikal keluar dari ladang bagi meminta bantuan.
“Melihat isteri tidak sedarkan diri, saya meninggalkannya
sendirian 10 minit dalam ladang itu dan keluar menaiki motosikal meminta
bantuan rakan membawanya ke hospital.
“Bagaimanapun, hospital mengesahkan isteri meninggl dunia
ketika sampai di hospital selain bahu dan kaki kirinya melecur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan
Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke bilik mayat
Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan