FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Ahad, 21 Ogos 2011

Maut kena petir waktu guna telefon

Maut kena petir waktu guna telefon
Kosmo 21 Ogos 2011


Rosnah menunjukkan telefon bimbit yang digunakan Siti Munirah yang maut dipanah petir di Kampung Belimbing, Tanah Merah semalam.

TANAH MERAH – “Saya mahu tidur puas-puas.” Itu ungkapan aneh yang diucapkan Siti Munirah Nordin (gambar), 13, pada cuti Nuzul Al-Quran Rabu lalu kepada ibunya sebelum remaja itu maut dipanah petir di bangsal berhampiran rumahnya dipercayai sedang menggunakan telefon bimbit di Kampung Belimbing di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.50 petang itu, Siti Munirah meninggal dunia di tempat kejadian dengan kecederaan pada muka sebelah kanan dan kesan terbakar pada telinga, rambut dan punggung.

Mayat mangsa ditemui abangnya, Mohd. Firdaus, 16, pada pukul 9 malam setelah ahli keluarganya keluar mencarinya selepas tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa sejak keluar pada pukul 4.30 petang.

Telefon bimbit milik ibunya yang dipinjam mangsa pula ditemui di atas tanah di bawah bangsal tersebut.

Mangsa merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing di sini.

Ibunya, Rosnah Dollah, 49, berkata, pada mulanya dia menyangka Siti Munirah pergi berbuka puasa di rumah kawannya tetapi terkejut apabila mendapat tahu kawan anaknya itu pulang ke kampungnya di Salor dekat sini.

“Sebelum kejadian, Siti Munirah sedang menggunakan telefon bimbit saya di dalam rumah dan apabila saya menegurnya kerana berbual terlalu lama, dia terus keluar dari rumah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Guna telefon bimbit: Remaja maut dipanah petir
Utusan Malaysia 21 Ogos 2011

TANAH MERAH 20 Ogos - Seorang remaja perempuan maut akibat dipanah petir, dipercayai ketika menggunakan telefon bimbit milik ibunya di sebuah bangsal berhampiran rumahnya di Kampung Belimbing dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 5.50 petang itu, mangsa, Siti Munirah Nordin, 13, meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan terbakar di sebelah kanan muka, telinga, kepala dan punggungnya.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bercakap dengan seseorang menggunakan telefon tersebut ketika cuaca agak redup dan petir sedang berbunyi.

Remaja berkenaan hanya ditemui oleh abangnya, Mohd. Firdaus, 16, sudah meninggal dunia di bangsal kira-kira pukul 9 malam tadi.

Ini berikutan ahli keluarga mencarinya setelah tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa sejak keluar pukul 4.30 petang.

Menceritakan kejadian itu, ibu mangsa, Rosnah Dollah, 49, berkata pada mulanya dia menyangka anaknya berbuka puasa di rumah rakannya yang terletak berhampiran rumah, namun terkejut apabila mendapat tahu anaknya tidak pergi ke situ.

"Sebelum kejadian, dia ada bercakap menggunakan telefon bimbit saya di dalam rumah. Kemudian saya menegurnya menyebabkan dia keluar dari rumah.

"Saya beritahu dia masih bersekolah dan tidak patut berbual lama-lama di telefon. Saya tidak tahu pula dengan siapa dia berbual," katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Manal hari ini.

Tambahnya, setelah mencarinya merata-rata dan bertanyakan kawannya, dia kemudian mencari anak keenam daripada tujuh beradik itu di bangsal tersebut.

"Saya teringat untuk mencari di situ kerana pernah ternampak dia dan kawannya duduk di bangsal sambil bercakap menggunakan telefon bimbit sehari sebelum kejadian," katanya.

Rosnah merupakan seorang ibu tunggal setelah kematian suami lima tahun lalu akibat sakit kencing manis. Dia kini menyara tujuh orang anak dan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM25 sehari.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_02.htm

Gadis kena panah petir
Harian Metro 21 Ogos 2011

TANAH MERAH: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas sebahagian badannya dari telinga hingga ke punggung hangus terkena panahan petir di sebuah bangsal berdekatan rumahnya di Batu Tiga, Kampung Belimbing, dekat sini, kelmarin.

Kejadian pada jam 9 malam itu disedari ibunya, Rosnah Dollah, 49, selepas mangsa, Siti Munirah Nordin, tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa menyebabkan usaha menjejakinya dilakukan sekitar kampung, termasuk rumah rakan.

Ibu tunggal terbabit akhirnya mendapati anaknya meninggal dunia dalam keadaan terlentang di sebuah bangsal 50 meter dari rumah dengan telefon bimbit masih di sisinya.

Menceritakan kejadian itu, Rosnah berkata, sebelum kejadian, dia menegur anaknya kerana bergayut dengan telefon sepanjang hari.

“Saya tegur dia (arwah anak), dengan siapa dia bergayut kerana sepanjang hari dilihat tidak renggang dengan telefon bimbit.

“Mungkin bosan dengan teguran saya, dia kemudian keluar rumah dan sangkaan saya ketika itu mungkin dia ke rumah rakan.

“Selepas teguran itu, saya ingatkan dia masih di rumah rakannya dan berbuka di sana. Bagaimanapun, perasaan saya bercampur curiga berikutan dia masih tidak pulang selepas Maghrib, menyebabkan usaha mencarinya dilakukan di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Jalan Manal, di sini, semalam.

Rosnah berkata, dia terkejut mendapati rakan anaknya pulang ke kampung mereka di Salor, menyebabkan usaha mencarinya dilakukan di sekeliling rumah.

“Hanya Tuhan tahu perasaan saya ketika itu. Saya bimbang berlaku kejadian tidak diingini dan terus mencarinya meskipun keadaan sekeliling mulai gelap.

“Bagaikan tidak percaya apa yang saya saksikan apabila menemui anak dalam keadaan separuh tubuhnya hangus, dipercayai terkena panahan petir berdekatan kawasan bangsal semak dan terlindung dari pandangan umum,” katanya.

Katanya, ketika itu Siti Munirah dalam keadaan terlentang, manakala baju T hitam dan seluar pendek merah jambu yang dipakainya turut terkena panahan petir dan hangus sebahagiannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa ditemui 50 meter dari rumah dalam keadaan terlentang dengan sebahagian badan hangus.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gadiskenapanahpetir/Article/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan