FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Khamis, 28 Julai 2011

Buruh tanam rumput maut disambar petir

Buruh tanam rumput maut disambar petir
Harian Metro 28 Julai 2011

KOTA TINGGI: “Kami terkejut apabila mendengar dentuman kuat sebelum melihat Afipudin tumbang manakala cangkul di tangannya tercampak dan topi pandan dipakainya pecah,” kata saksi kejadian panahan petir yang meragut nyawa buruh warga asing di padang lapang di Taman Daiman di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, mangsa dikenali sebagai Afipudin Masyhuri, 25, dari Kepulauan Lombok, Indonesia, meninggal dunia di tempat kejadian akibat dipanah petir di kepala hingga menyebabkan topi diperbuat daripada daun pandan yang dipakai mangsa berkecai.

Menceritakan detik mencemaskan itu, saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Tamin, 32, berkata, ketika kejadian cuaca sejuk kerana selepas hujan dan dia dikejutkan dengan dentuman kuat.

“Apabila menoleh nampak Afipudin yang lima meter daripada saya tiba-tiba tumbang.

“Saya melihat dia rebah manakala cangkul di tangannya tercampak dan topi pandan dipakainya pecah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, kelmarin.

Menurutnya, mereka berlima (termasuk mangsa) menanam rumput di tanah lapang berhampiran tangki air taman itu sebelum hujan lebat jam 2.30 petang.

Katanya, hujan dua kali hingga jam 4.30 petang menyebabkan mereka mengambil peluang pulang ke rumah kongsi yang terletak satu kilometer dari lokasi untuk makan dan berehat sebelum menyambung kerja.

Rakannya, Sifan Surainto, 37, berkata, jumlah keseluruhan pekerja menanam rumput ialah 10 orang dan dibahagikan kepada dua kumpulan menanam rumput di kawasan masing-masing.

Menurutnya, kumpulannya bekerja di kawasan belakang perumahan manakala kumpulan Afipudin bekerja berhampiran tangki air dengan jarak dua kumpulan 700 meter.

“Selepas petir berdentum, kami dimaklumkan Afipudin terkena panahan petir di kepala menyebabkan kami bergegas melihat keadaannya.

“Bagaimanapun, setiba kami di situ semua rakan memberitahu mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot mengesahkan buruh warga asing terbunuh akibat dipanah petir ketika menanam rumput di kawasan tanah lapang di Taman Daiman dalam kejadian jam 5.10 petang kelmarin.

Menurutnya, jenazah mangsa dihantar ke HKT untuk di bedah siasat sebelum majikannya menguruskan penghantaran jenazah ke kampungnya di Indonesia.

“Selain mangsa yang mati dipanah petir meninggal dunia, kami menerima laporan tiga lelaki di Felda Pasak turut dipanah petir namun dilaporkan selamat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Buruhtanamrumputmautdisambarpetir/Article/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan