FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Rabu, 6 April 2016

Penjaga Gol Simpanan Melaka United Dipanah Petir



Penjaga Gol Simpanan Melaka United Dipanah Petir
Selasa, 5 April 2016 11:10 PM


MELAKA: Penjaga gol simpanan Melaka United, Marco Stefan Petrovski kini dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai akibat dipanah petir ketika menjalani latihan di Krubong di sini, kira-kira pukul 5 petang Selasa.

Pengarah Hospital Melaka Datuk Dr Za'aba Baba berkata pemain berdarah campuran Malaysia-Australia berusia 18 tahun itu, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital tersebut untuk mendapat rawatan.

"Pesakit akan diberi rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi selepas ini," katanya menerusi kenyataan pada Selasa malam.

Petrovski merupakan pemain remaja kelab Sydney Olympic FC di Australia sebelum memilih bermain untuk Melaka United musim ini. -Bernama


Dipanah petir ketika berlatih


Melaka: Pemain naturalisasi yang juga penjaga gol simpanan Melaka United Marco Stefan Petrovski, 18, tidak sedarkan diri selepas dipanah petir ketika menjalani latihan skuad Piala Presiden di Padang Sepuluh, Krubong, di sini, 5 petang tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika 28 pemain menjalani latihan di padang terbabit bermula 4 petang.

Pengurus skuad Piala Presiden Melaka Khairi Anuar Ahmad berkata, seorang lagi pemain pertahanan Melaka United yang berada dalam skuad Piala Presiden Muhammad Afiq Azuan, 21, turut terkena panahan petir itu.

"Buat masa ini, Marco belum sedarkan diri dan dipantau di unit rawatan rapi (ICU).

“Muhammad Afiq dalam keadaan sedar dan dipantau di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, jurulatih G Torairaju dan fisioterapi Ahmad Faisal Miswan turut merasai kesan panahan petir itu, namun tidak cedera.

Selasa, 5 April 2016 @ 8:39 PM