Ghaib dipanah petir
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris
Hanafis@hmetro.com.my
Batu Pahat: “Selepas kilat menyambar di sekitar kawasan Yong
Ching berada, saya dapati dia tiada di atas bot,” kata Go Swee Heng, 37, rakan
Ng Yong Ching, 21, nelayan maut dipanah petir di laut berhampiran Rumah Api
Sungai Ayam, Senggarang, di sini, kelmarin.
Mangsa dikatakan terjatuh ketika menarik pukat di atas bot
gentian kaca miliknya dalam kejadian jam 5 petang itu yang turut menyaksikan
laut bergelora akibat ribut petir.
Menurut Swee Heng, ketika itu dia berada 100 meter dari
lokasi mangsa.
“Sebelum kejadian, cuaca memang agak buruk dengan hujan
lebat disusuli angin kencang dan ribut petir. Kami kemudian membuat keputusan
untuk pulang dan ketika sedang menarik pukat, saya terdengar bunyi petir.
“Ketika itu juga, saya ternampak panahan kilat menyambar
sekitar kawasan Yong Ching berada sebelum kelibatnya hilang dari pandangan,”
katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan dia tidak
sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rakannya itu sebelum bertindak menghubungi
bapanya selain membuat panggilan kecemasan kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia (APMM) Batu Pahat Leftenan Komander Maritim Muhammad
Zulkarnain Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian
berkenaan pada jam 5.30 petang selepas dihubungi bapa Yong Ching, Ng Ben Swee,
59.
“Sebaik menerima aduan, bot kilat 13 APMM bersama empat
anggota bergegas ke lokasi untuk gerakan mencari dan menyelamat yang turut
dibantu 12 bot nelayan tempatan, sebuah bot Jabatan Pertahanan Awam Malaysia
serta dua bot Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian ditemui kira-kira 1.5 batu
nautika dari lokasi kejadian pada jam 4.50 petang, semalam, dengan kesan
terbakar pada bahagian kaki dan kepala dipercayai akibat panahan petir.
“Bagaimanapun, bedah siasat perlu dijalankan bagi mengenal
pasti punca sebenar kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Sungai Ayam sebelum
diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, ” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 6:21
AM