FIRMAN ALLAH

Dialah yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk menimbulkan ketakutan dan keinginan dan Dialah yang menyusun awan yang berat.

Dan bertasbihlah petir dengan memujiNya, dan malaikat pun lantaran takut kepadaNya, dan Dia kirimkan halilintar (kilat) dan Dialah timpakan kepada barangsiapa yang Dia kehendaki, namun mereka masih membantah tentang Allah, padahal Dia adalah sangat pedih siksaan.
(Surah Ar Ra’ad :12-13)

Selasa, 7 Julai 2015

Tragedi bakar kuih akok




PASIR PUTEH – Hasrat seorang pemuda menamatkan zaman bujang bersama seorang gadis pada bulan September depan tidak kesampaian apabila dia maut dipanah petir ketika membantu ibunya membakar kuih akok di Kampung Air Tawar, Tok Bali di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang tersebut, Muhammad Abdul Aziz Ibrahim (gambar kecil), 26, pekerja sebuah syarikat swasta di Kuala Terengganu, ditemui terlentang di atas acuan akok di dalam bangsal gerai jualan ibunya kira-kira 10 meter dari rumah mereka.

Ibu pemuda itu, Wan Minah Wan Ibrahim, 59, yang juga berada di dalam bangsal itu ketika kejadian dilaporkan tidak sedarkan diri.

Abang ipar mangsa, Mohd. Abdullah Nawi, 31, memberitahu mangsa ditemui dalam keadaan melecur dan hangus pada paha dan sebahagian besar dada.

Katanya, telefon bimbit Muhammad Abdul Aziz yang diletakkan di dalam poket seluarnya turut pecah.